Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 8 Sept: Jika benar apa yang dikatakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman bahawa Mat Indera adalah komunis, apakah kedudukan penulis dan buku yang dinaungi beliau yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor. Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membangkit perkara itu ekoran tindakan Ghani menafikan taraf Mat Indera yang diherokan oleh buku itu sebelum ini namun apabila bertembung dengan sikap Umno yang mengkomuniskan Mat Indera, ia berubah. (Mohamad Sabu menunjukkan buku Yayasan Warisan Johor yang nyatakan Mat Indera adalah hero...kini MB Johor bertukar arah mengatakan Mat Indera Komunis pula) Bahkan, kerana Mat Indera turut dibela timbalan presiden PAS Haji Mohamad Sabu, beliau kini menjadi sasaran bahkan ada cadangan agar digugurkan kerakyatannya. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Datuk Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Datuk Abdul Ghani Othman. Soal Tuan Ibrahim, sekiranya perlu Mohamad digugurkan kerakyatan kerana menganggap Mat Indera sebagai seorang hero, bagaimana pula dengan penulis dan pakar sejarah yang menerbitkan buku Pengukir Nama Johor, terbitan Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang juga mengangkat Mat Indera sebagai hero? “Bagaimana pula dengan kerakyatan Abdul Ghani apabila beliau tetiba bercanggah dengan buku yang dinaungkannya sebagai 'bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik' pada 2004 dengan menggelar Mat Indera sebagai pengganas untuk meneruskan hujah Umno yang semakin menikam Umno sendiri?” soal beliau lagi. Walaupun menjadi penaung kepada buku Pengukir Nama Johor, Abdul Ghani semalam menidakkan tulisan buku tersebut dengan berkata Ahmad Indera atau Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim. Di sebalik kenyataan tersebut, Abdul Ghani secara ironisnya turut dipetik Bernama sebagai berkata penulisan dan catatan tersebut dalam buku tersebut boleh “menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.” Desakan menggugurkan kerakyatan, kata Tuan Ibrahim juga sebenarnya menggambarkan betapa rakusnya kerajaan pemerintah dalam mengekalkan kuasa sehinggakan soal perundangan boleh diabaikan. “Kalau diikutkan kehendak Umno, rakyat langsung tak boleh bersuara menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan – asalkan bercanggah dan menyebabkan kerajaan pemerintah tidak gembira, anda boleh disaran untuk dibuang kerakyatan. Sedangkan pada waktu yang sama, kerajaan pula beri warga asing kerakyatan walaupun mereka langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negara. "Inilah contoh terbaik untuk mengunkapkan kata-kata P.Ramli fening, fening,” bidas beliau. Berbangga dengan penjajah Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim berkata, menghalau penjajah lebih mudah berbanding membuang pemikiran penjajah – itulah ungkapan untuk menggambarkan walaupun negara telah merdeka 54 tahun, namun pemikiran penjajah masih kukuh dan utuh dalam pemikiran sesetengah golongan. Bahkan, kata beliau, ada yang masih berbangga dengan apa yang ditinggalkan penjajah. Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata perkara yang paling menyayatkan hati pada zaman ini ialah kebutaan golongan yang masih dikongkong mentaliti penjajah dalam membakulkan golongan yang ikhlas berjuang menghalau penjajah kini sebagai komunis. Manakala golongan yang sanggup bersekongkol dengan penjajah dan taat menerima segala arahan penjajah sehingga membidas, mencedera dan malah ada yang sanggup membunuh orang sendiri yang melawan penjajah didewa-dewakan oleh golongan ini sebagai hero, katanya dengan kesal. Seluruh fakta sejarah yang bersama Inggeris dikekalkan, bahkan, kata beliau nama-nama parti politik masih menggunakan bahasa penjajah seperti Umno, MIC, MCA – semua adalah singkatan bahasa Inggeris. “(Mereka) masih bangga mendabik dada dan berulang-ulang menyebut “Kamilah pejuang bangsa, Kamilah pembela tanahair” sehingga bertukar menjadi “Kami sahajalah pejuang bangsa, Kami sahajalah pembela tanahair” sehingga mengabaikan dan menggugurkan jasa para pejuang lain yang tidak diiktiraf pihak Inggeris dalam sejarah,” bidas beliau. Tegas Tuan Ibrahim, dalam bab menjaga Islam, rekod kerajaan Barisan Nasional adalah lagi menyedihkan. Selepas 54 tahun negara merdeka, kata beliau, nama Islam bukan sahaja tidak bertambah harum, malah kian dilihat sebagai agama yang menghalalkan rasuah dalam pentadbiran, penyalahgunaan kuasa demi kekal berkuasa, rakyat didahulukan untuk disembelihkan apabila ekonomi negara disalahtadbir dan perundangan Islam hanya berlegar soal peribadi dan kekeluargaan. “Bukan itu sahaja, malah majoriti institusi-institusi agama turut dikongkong untuk mengembangkan ajaran Islam dengan pelbagai enakmen yang direka bukan sahaja menyusahkan dan pada masa yang sama menyebabkan agama Islam ditertawakan,” selar beliau lagi. Disebabkan masih dibelenggu mentaliti penjajah, kata Tuan Ibrahim sehingga sekarang isu-isu utama seperti soal perpaduan kaum, soal agama dan dasar pendidikan nasional dan soal memartabatkan bahasa kebangsaan masih tidak mempunyai penyelesaian. Malah katanya, setiap kali menjelang pilihanraya umum, isu agama dan kaum akan digunakan sebagai senjata sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah untuk dijaja kepada kaum masing-masing bagi meraih undi. “Inilah nasib bilamana negara dipimpin oleh mereka yang pemikiran masih dibelenggu oleh elemen penjajah,” kata beliau. Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyelar kewujudan budaya baru seperti gesaan untuk melucutkan kerakyatan dan memperbanyakkan laporan polis dan saranan seseorang agar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana bercanggah pendapat dengan pihak pemerintah. “Segalanya dibuat seolah-olahlah merekalah undang-undang, dan merekalah pendakwa dan merekalah jugalah hakim,” terang beliau. Mengenai isu terbaru di mana timbul desakan menggugurkan kerakyatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semata-mata kerana beliau mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan, Tuan Ibrahim menyoal mengapa saranan yang sama tidak kedengaran kepada mereka yang terlibat dalam konspirasi memberikan kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya, yang terang-bederang khianat kepada negara selepas 54 tahun merdeka. “Ini bukan ke satu lagi mentaliti penjajah – di mana mereka sanggup mengelirukan orang Tanah Melayu sendiri untuk melawan orang Tanah Melayu sendiri, tapi masa yang sama menjual negara ke tangan warga asing untuk mengundi mereka supaya boleh kekal berkuasa? Penjajah turut melakukan perkara yang sama, orang Tanah Melayu diambil sebagai pegawai, polis dan juga askar untuk melawan orang Tanah Melayu yang menentang penjajahan mereka supaya mereka boleh kekal berkuasa,” terang beliau. |
Stop Lynas
IKLAN PINJAMAN
Followers
Friday, September 9, 2011
Apa pula status penulis buku Pengukir Nama Johor?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment