Stop Lynas

Stop Lynas

IKLAN PINJAMAN

IKLAN PINJAMAN

Followers

Monday, August 29, 2011

Lynas : Suatu Sikap diantara Pandangan Pakar dan Rakyat.

 Pandangan Ketua Pemuda Pas Malaysia

1. PAS sememangnya berbangga mempunyai ramai pakar saintis seperti Dr Che Rosli, Dr Zulkifli Ahmad dan lain - lainnya. Malah mereka adalah sebahagian dari pemimpin PAS yang berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Selain daripada sikap PAS yang selama - lamanya menghargai dan menghormati ilmu serta kepakaran seseorang tokoh yang diiktiraf, penglibatan mereka bersama PAS juga satu penghargaan besar kepada PAS setelah sekian lama PAS dimomokkan sebagai parti kampung, parti tok lebai, parti kain pelikat dan sebagainya.

2. Ertinya kini PAS tidak lagi parti pinggiran atau kampungan yang hanya menjadi mangsa belasahan UMNO dan BN sebagaimana dulu. PAS juga bukan hanya sebuah parti yang  hitung tindaknya berasaskan millage politik semata - mata tetapi kini PAS juga boleh menjadi wadah cendikiawan, sasterawan, budayawan, hartawan dan agamawan yang sememangnya menjadi pahlawan yang berjuang mendokong dasar dan prinsip perjuangan PAS iaitu Islam.

3. Apabila PAS menjadi wadah yang besar dan lebar, lalu berlakunya perbedaan pendapat adalah suatu yang lumrah malah menonjolkan kehebatan PAS dalam menangani dan mendepani sesuatu isu atau kes. Kini PAS bukan lagi sebuah jamaah kecil yang dinding pagarnya laksana sebuah surau atau musolla dengan seluruh anggota jamaahnya berpada dengan bimbingan seorang syeikh atau muallim pula berpaut pada satu mazhab [aliran pemikiran].

4. Sebaliknya PAS kini adalah platform ummah yang batu sempadannya laksana sebuah negeri atau negara dengan seluruh anggota jamaahnya memerlukan ramai mujtahid, mufakkir dan muallim dengan mengenengahkan sekurang - kurang 4 mazhab utama ahli sunnah wal jamaah sebagai landasan beramal dan bertindak. Justeru satu mazhab akan menyulitkan perlaksanaan Islam di peringkat agenda nasional dalam zaman yang serba rencam dan kompleks masaalahnya kini. [ mungkin pada peringkat individu, tidak mengapa berpaut kejap pada satu mazhab]

5. Sungguhpun begitu, uniknya Islam sekalipun ia adalah sebuah Manhaj Kehidupan yang besar dan terbuka, Islam diperkaya dengan disiplin dan akhlak yang tinggi serta peraturan yang lengkap dan sempurna. Biarpun Islam dilihat terlalu banyak perbedaan pandangan pada segala masaalahnya seperti fekah namun perbedaan itu diurus dengan baik, teliti dan disiplin menepati prinsip dan kaedah ilmu.

6. Kini PAS mula merasai dan meluruti keunikan itu. Saya harap semua pimpinan, ahli dan penyokong malah pemerhati dari kalangan rakyat terbanyak, dapat bersabar menekuni perkembangan ini tanpa mewajarkan diri keluar atau terhindar dari garis akhlak dan disiplin ilmu.

7. Sungguhpun kesilapan boleh berlaku pada bila - bila masa dan pada sesiapa jua atas sifat kita bukanlah insan yang maksum dan sempurna dalam segala aspek, namun saya tegaskan sekali lagi [kalau berlaku kesilapan], agar kesilapan itu tidak mewajarkan kita bergelut dan berpolemik sesama sendiri, apalagi untuk lari dari  manhaj perjuangan Islam yang kita dokong bersama. Min baabil Aula [terlebih layaklah] kalau kita sememangnya tidak silap.

8. Kembali kepada isu Lynas yang hangat diperbahaskan mutaakhir ini, Dr Che Rosli tampil menyatakan pandangannya yang sangat berbeza dengan pandangan dan perjuangan rakyat di Kuantan khasnya di Pahang amnya. Malah berbeza sekali dengan pandangan PAS Pusat yang terlebih dahulu telah mengambil keputusan untuk bersama rakyat Pahang khasnya dan rakyat seluruh negara amnya,  menolak operasi Lynas di Gebeng Pahang.

[ Hujjah kenapa rakyat menolak Lynas telah dikemukakan  secara rasmi oleh Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat Sdr Zulkifli Mohamad Omar, juga kenyataan rasmi dari Ketua Penerangan PAS Pusat Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan boleh ikuti hujjah lebih jelas dari buku khas "Lynas @ Gebeng Kenapa Kami Bantah ?"  yang telah diterbitkan oleh Badan Bertindak Anti Rare Earth [BADAR]. ~ sebagaimana pandangan berbeza pula dikeluarkan oleh Dr Che Rusli melalui wawancara beliau dengan TV 3 baru - baru ini ]

9. Saya menghormati pandangan Dr Che Rusli sebagai seorang pakar dan bercakap pula berasaskan ilmu serta kepakaran bidang yang beliau miliki. Bertambah bangga saya, apabila beliau adalah ahli dan pimpinan PAS. Walaupun beliau mengemuka pandangan berbeza, berbeza dengan PAS Pusat, berbeza dengan rakyat Pahang dan berbeza dengan saya, tapi saya lihat tiada cacat celanya dan tidak perlu pula dikata nista kepada beliau selama beliau bercakap dan memberi pandangan berasaskan ilmu yang beliau miliki. Kita sewajarnya menghormati ilmu beliau. Jangan bergaduh dengan beliau dan sabarlah dengan perbezaan ini serta bertindaklah sebaik mungkin.

10. Pandangan berbeza ini insyaallah akan membuka lebih lebar ruang perbahasan, lebih mendalam perbincangan dan lebih detail atau jelas butir perdebatan. Ia akan menjadi ilmu kepada masyarakat untuk lebih nampak dan jelas secara sentimen dan secara saintifik betapa Lynas adalah sebuah industri yang boleh diterima atau mesti ditolak.

11. Harapan saya selepas ini , akan terungkaplah segala keraguan. Setelah seorang Pakar mengemukakan pandangan beliau yang dilihat sebagai menyongsang arus, maka saya juga yakin, skuad Badan Bertindak Anti Rare Earth [BADAR] akan melipat gandakan pengumpulan maklumat, bahan bukti serta fakta kes bagi menjelaskan lagi kedudukan Lynas Corporation ini.

12. Ertinya selepas ini ia akan menjadi perbahasan yang lebih ilmiah bukan lagi sentimen sebagaimana yang dimomokkan sebelum ini. Saya kira selepas ini akan banyak pihak sedia menganjurkan seminar di peringkat nasional dengan menampilkan pakar mewakili pihak masing - masing. Barangkali Sinar Harian akan menjadikan tapak Karangkrafnya sebagai medan perdebatan para pakar ini. Kiranya tiada, Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi sedia untuk menjadi penganjur kepada perdebatan dan perbahasan ilmiah ini. 

13. Tapi ingat ! jangan ambil masa terlalu lama untuk memperbahaskan perkara ini, kerana saya bimbang kalau keputusannya kelak, selepas meneliti perbahasan demi perbahasan pakar, akhirnya merumuskan Lynas mesti ditolak, sedang Lynas telah beroperasi, maka rakyat sekali lagi menjadi mangsa dam keadaan mereka tidak ubah seperti tikus makmal.

14. Langkah terbaiknya, saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, mewakili seluruh warga pemuda PAS menggesa agar kerajaan Malaysia mengarahkan agar Kilang Lynas Corporation menghentikan terlebih dahulu sebarang bentuk operasi pembinaan dan operasi penghasilannya sementara memberi laluan kepada semua pakar berbincang dan mengkaji. Bukan hanya melibatkan pakar nuklear, tetapi juga pakar racun, pakar alam sekitar, pakar kesihatan, pakar ekonomi, pakar undang - undang dan lain - lain pakar yang berkaitan termasuk pakar politik serta pemantau bebas antarabangsa.

15. Sejurus selesai ummat Islam menyambut Aidil Fitri, Insyaallah saya akan berbincang dengan Jabatan Undang - Undang dan Hak Asasi Manusia [JUHAM] DPP Malaysia, kemungkinan untuk berusaha mendapatkan arahan mahkamah agar Kilang Lynas yang penuh dengan kontraversi ini ditangguhkan operasinya sehingga jelas kedudukannya di mata rakyat. Agar negara tidak memperjudikan masa depan rakyat sendiri.  Apakah kilang ini selamat atau bahaya !

16. Saya yakin dan percaya, bagi pihak BADAR telah muktamad menolak Lynas sebagaimana saya juga salah seorang yang tinggal di kawasan padat penduduk tidak melebihi 30 KM dari Kilang Lynas ini, telah mengambil keputusan muktamad bahawa kilang ini wajar dihenti dan mesti ditutup segera.

17. Tapi nampaknya sebahagian rakyat masih belum memahaminya, belum menerima mesej yang jelas dan belum mendapat maklumat yang tepat dari pihak BADAR. Tambahan pula ada pandangan pakar yang berbeza. Maka adilnya untuk rakyat umum, mereka mesti didedahkan maklumat dari kedua belah pihak terutama kepada rakyat tempatan yang tingal dalam lingkaran 30 kilometer persegi dengan Kilang Lynas ini.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Friday, August 26, 2011

PAS Pahang tetap tolak projek Lynas

KUANTAN, 25 Ogos: PAS Pahang tetap menentang projek Lynas walaupun ada percanggahan dalam kenyataan pakar-pakar, yang sebilangan kecilnya dalam PAS yang mengatakan ia tidak mengundang bahaya kepada manusia dan alam sekitar.

Dalam satu kenyataannya hari, Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beliau tetap menghormati kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang anggota parlimen PAS, Dr Che Rosli Che Mat, walaupun pendapat beliau berbeza dengan pendirian parti dan Pakatan Rakyat dalam hal ini.

“Kenyataan beliau berupa hak dan kepakaran pandangan peribadi yang harus dihormati. Ini tidak menjadi masalah kepada parti, malah parti meraikan perbezaan pendapat ini dalam juzuk selaras dengan landasan demokrasi,” terang beliau.

Sebelum itu, Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS menjelaskan bahawa PAS Pusat akan turut mendapatkan keterangan berhubung kenyataan Che Rosli, ahli parlimen Hulu Langat yang mengatakan Lajnah Penerangan PAS Pusat melarang beliau mengeluarkan kenyataan tentang nuklear terutama mengenai Lynas.

Sehingga kini, terang Tuan Ibrahim, beliau yang baru menjawat jawatan Ketua Penerangan PAS Pusat selama 2.5 bulan ini tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada Dr Che Rosli untuk mengeluarkan sebarang kenyataannya tentang nuklear termasuk berhubung dengan isu Lynas.

Dr Che Rosli dalam laporan Buletin Utama TV3 semalam mengatakan beliau sudah lama bersabar dalam perkara itu sebab Penerangan PAS Pusat melarang beliau membuat kenyataan berhubung nuklear termasuk mengenai isu Lynas.

Selain itu, Che Rosli turut mengkritik akhbar rasmi PAS, Harakah kerana bersikap tidak adil terhadap beliau berbanding Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fauziah Salleh yang sering disiarkan kenyataan-kenyataannya berhubung nuklear dan isu Lynas yang bertentangan dengan pendiriannya.

Mengenai kenyataan Che Rosli yang mengenai bahawa kilang loji nadir bumi Lynas tidak membawa ancaman, Tuan Ibrahim berkata bagi pihak PAS, rakyat perlu didahulukan dalam hal ini.

“Kebimbingan risiko akibat projek Lynas oleh orang ramai, terutamanya penduduk Kuantan tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Rakyat mempunyai hak terbesar yang mesti didengar semua.

PAS tetap melihat projek ini tidak mendatangkan apa-apa manfaat selain peluang pekerjaan hanya cukup menampung beberapa kerat pekerja tempatan; berbanding dengan risiko yang sedang menanti,” tegas beliau.

Projek Lynas sebagaimana projek be-risiko tinggi yang lain, katanya sekiranya mengikut semua pakar nuklear, tidak akan mendatangkan ancaman dan bahaya dalam keadaan normal.

“Bahkan loji nuklear pun dikatakan selamat, begitu juga loji tenaga dan seumpamanya. Namun, apabila berlaku sesuatu di luar kawalan manusia seperti yang terbesar kecuaian manusia sendiri, gempa bumi, banjir, tsunami dan lain-lain – apakah pada waktu itu baru kita hendak mengakui bahawa ia telah menjadi satu ancaman?” soal beliau.

Menurut Tuan Ibrahim, penduduk di sekitar Gebeng dan Kuantan masih teringat projek nadir bumi di Bukit Merah pada 1980an – semasa ia diluluskan, ia juga dikatakan tidak bahaya dan tidak mengancam manusia dan alam sekitar.

“Akan kini setelah terbukti ancamannya, ke mana semua pakar yang berhujah pada masa itu bahawa ia selamat? Semuanya senyap menyepi – yang menanggung bala adalah penduduk di sekitar kawasan loji tersebut, bahkan sisa toksiknya masih belum diselenggara sepenuhnya dengan baik sehingga kini.

Percayalah, bila loji di Gebeng bertukar menjadi ancaman, orang asing dan tempatan beserta pakar yang menyokong loji ini akan mencari mangsa untuk dipersalahkan, lebih teruk lagi senyap menyepi tanpa sesiapa yang sanggup berdiri keluar untuk bertanggungjawab kepada akibat yang berlaku,” selarnya.

Rakyat Pahang rata-ratanya sehingga kini ingin tahu ke mana sisa radioaktif akan dilupuskan, kata Tuan Ibrahim, dan sekiranya ianya tidak bahaya seperti yang dinyatakan, pihak yang menyokong penubuhan kilang ini dicabar untuk menyatakanlah sebuah negara yang sudi terima sisa toksik ini.

“Apakah sisa ini akan ditanam dalam bumi kita – isi dan untung mereka yang dapat tapi sisa dan toksik rakyat kita yang tanggung?

PAS Pahang berdiri teguh bersama rakyat Pahang yang menentang projek ini, dan bagi sesiapa yang menyokongnya, bolehlah usahakan agar projek ini dibawa ke kawasannya, dan tengoklah apa reaksi pengundinya di sana. Carilah negeri lain yang rakyatnya sedia dan sanggup terima, itupun jika dapat cari,” bidas beliau.

Mengenai tindakan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah menetapkan 11 syarat dikeluarkan untuk pertimbangan Lynas dan AELB (Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia) sebelum projek kilang tersebut diteruskan, Tuan Ibrahim mengingatkan rakyat bahawa badan ini merupakan badan yang juga menggalakan pengunaan tenaga nuklear di dunia.

“Menurut President Sahabat Alam Malaysia (SAM) S. M. Mohamed Idris, badan inilah yang membuat perakuan loji nadir bumi di Bukit Merah tidak membahayakan orang ramai. Tapi sekarang, apa yang sudah berlaku ?

PAS Pahang tetap berpegang bahawa suara rakyat jadi penentu. Kita akan terus mendesak sehingga projek ini dibatalkan. Rakyat Pahang akan memberikan jawapan yang jelas menentang hal ini apabila datang PRU-13 nanti,” tegas beliau lagi.

Undi pos: DAP timbulkan 'isteri klon' pula

DAP hari ini mendakwa, parti itu berjaya menemui rekod dua orang pengundi wanita yang didaftarkan sebagai undi pos – dengan nama yang sama dan juga berkahwin dengan seorang anggota tentera lelaki yang sama.
Anehnya, kedua-dua wanita bernama Khadijah Husin itu berdaftar di alamat yang sama dan juga mempunyai tarikh lahir yang sama, menurut rekod di pengkalan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
dap claims wives clone voters 250811Kedua-duanya wanita tersebut, seorang daripadanya sembilan tahun lebih tua, dilahirkan pada 20 Februari dan nombor kad pengenalan mereka pula hanya mempunyai perbezaan pada satu digit.
Wanita berkenaan didaftarkan sebagai pengundi pos mengikut pasangan mereka, seorang anggota tentera bernama Nor Hisham Md Darus.
Mengulas penemuan itu, ahli parlimen Rasah, Anthony Loke berkata ketulenan pengundi pos berkenaan diragui memandangkan kesamaan yang dikesan itu "terlalu kebetulan."
"Adakah kebetulan seperti ini, di mana seorang lelaki ada dua isteri yang sama nama dan tarikh lahir? Kita syak (wanita) ini ialah orang yang sama dengan dua identiti.
"Jika media boleh jumpa dua wanita ini dengan nama dan tarikh lahir sama dan ambil gambar dengan suami dia, saya akan kunjungi keluar itu dan beri mereka hamper Hari Raya," katanya.
Seorang daripada wanita berkenaan telah dipindahkan untuk mengundi di kawasan Rasah manakala seorang lagi didaftarkan sebagai pengundi baru di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, semakan yang dijalankan Malaysiakini di pangkalan data dalam talian SPR menunjukkan, maklumat untuk seorang daripada wanita berkenaan (dengan nombor kad pengenalan 790220115182) telah dikeluarkan.

Thursday, August 25, 2011

Lynas: Pandangan berbeza Lajnah Alam Sekitar PAS

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Lajnah Alam Sekitar PAS mempunyai pandangan berbeza dengan dua pakar atom termasuk seorang anggota parlimen PAS, Dr Che Rosli Che Mat berkaitan dengan kilang Lynas di Kuantan.
(Zulkefly kiri dan Dr Che Rusli kanan)
Menurut pengerusinya, Zulkefly Mohamad Omar, perbezaan ini berdasarkan kajian mendalam yang mereka buat terhadap kilang ini dan pengalaman yang dilalui oleh kilang seumpamanya seluruh dunia.
Malam tadi, Dr Che Rusli, anggota parlimen Hulu Langat, seorang pakar atom yang pernah bertugas di Puspati dan pensyarah UKM memberikan wawancaranya dengan TV3 dan yakin kilang itu selamat.
Namun, aktivis dan pimpinan PAS di peringkat kawasan Kuantan khasnya di Gebeng, tempat kilang itu sedang dibina membantah keras pembinaannya.
Perbezaan ini disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai perbezaan pendapat teknikal yang tidak menjadi kesalahan kerana PAS menyatukan ahli-ahlinya dengan kesatuan aqidah melalui Islam.
Ia juga melambangkan kesuburan kebebasan memberikan pandangan yang bukan menjadi tunjang kepada aqidah.
Berikut adalah kenyataan penuh Zulkefly yang dihantar kepada Harakahdaily.
Saya Zulkefly Mohamad Omar, AJK PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat ingin memberi kenyataan berhubungkait kenyataan Dr Che Rusli Che Mat dan Prof Ahmad Termizi di TV3 semalam dalam Buletin Utama TV3.

Saya telah mengamati kenyataan kedua-dua tokoh tersebut dan sama sekali tidak berhasrat untuk mempertikaikan kaliber mereka sebagai Pakar Saintis Nuklear. Apa yang saya utarakan bahawa beberapa pandangan yang berbeza boleh dianggap sebagai medan untuk saya perjelaskan tentang Pendirian Lajnah Alam Sekitar Pas Pusat dan Badar (Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery)berkaitan  Isu Kilang Rare Earth Refinery yang akan beroperasi Gebeng, Kuantan.

Pendedahan mereka yang dipetik dari TV3 berkenaan kenyataan bahawa Kilang LAMP milik LYNAS adalah Loji Nuklear disangkal PAS. PAS tidak pernah mengakui bahawa Kilang LAMP milik LYNAS itu adalah Loji Nuklear, malah nama badan yang berjuang untuk menentang LYNAS itu adalah Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery (BADAR) di mana pekataan ‘refinery’ itu sendiri merujuk kepada KILANG.

Memetik kenyataan Prof.Dr.Ahmad Termizi bahawa risiko bukan alasan untuk mengharamkan sesuatu perkara dan risiko itu mesti berpadanan dengan manfaat jelas merupakan satu kenyataan yang tidak berasas malah dilihat seolah-olah cuba memperjudikan nasib penduduk setempat khususnya penduduk di sekitar Balok Kuantan di atas nama kemajuan teknologi dan ekonomi.

Risiko yang dikenalpasti bukanlah hanya daripada pancaran radiasi, malah terdapat banyak potensi risiko yang cukup tinggi ketika pengangkutan bahan mentah yang tiba dari Australia di pelabuhan Kuantan ke tapak kilang LAMP milik LYNAS di Gebeng Kuantan, ketika kerja-kerja pemprosesan, simpanan dan pengurusan sisa buangan (pepejal, air sisa dan gas) yang dikenalpasti mempunyai elemen radioaktif di dalamnya.

Kami tahu banyak air sisa yang dikatakan ‘telah dirawat’ akan dilepaskan ke Sungai Balok yang diketahui umum sudah tercemar pada tahap 2 dan 3. Malah sehingga hari ini, penduduk setempat masih tidak dilibatkan di dalam menilai perancangan pengurusan sisa buangan milik LYNAS itu.

Risiko dari Kilang LAMP milik LYNAS adalah sesuatu risiko yang tidak boleh dikompromi walaupun jika ada manfaatnya dari aspek ekonomi walaupun PAS ragu-ragu dengan manfaat ekonomi yang dimaksudkan. Pelepasan cukai perolehan selama 12 tahun kepada LYNAS adalah satu tindakan yang tidak menguntungkan negara.

Risiko itu tidak boleh dikompromi dengan manfaat kerana pencemaran sisa radioaktif kepada alam sekitar tidak mampu dipulihkan dalam tempoh yang singkat malah dikenalpasti akan kekal sehingga tempoh yang lama iaitu puluhan tahun lamanya.

Malah ancaman kepada kesihatan juga boleh berlaku seperti penyakit kanser dan lieukemia jika terdapat kebocoran dan kegagalan fungsi peralatan yang sedia ada sehingga menyebabkan pendedahan bahan-bahan beradioaktif kepada penduduk setempat. Laporan keretakan tangki simpanan serta spesifikasi yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan seperti yang dipaparkan oleh New York Times (NYT) mengukuhkan lagi ketidakyakinan penduduk setempat kepada jaminan keselamatan yang acap kali diwawarkan oleh agensi yang berkenaan termasuk pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN).

PAS sekali lagi menegaskan tahap dos sinaran yang dimaksudkan Prof. Dr. Ahmad Termizi hanyalah satu daripada beberapa isu yang dibangkitkan rakyat.

Rakyat tidak boleh dipersalahkan kerana membangkitkan kegusaran mereka terhadap aspek-aspek keselamatan termasuk potensi ancaman dari kilang LAMP milik LYNAS itu. Lebih-lebih lagi penglibatan pihak awam tidak dialu-alukan dari peringkat awal malah kelemahan aspek ini diakui oleh wakil MITI ketika kami bertemu mereka tempoh hari. Lebih-lebih lagi Kajian Alam Sekitar (PEIA) jelas tidak melibatkan pihak awam ketika itu walaupun Kajian Terperinci Alam Sekitar (DEIA) boleh digunapakai seolah-olah potensi pelbagai ancaman yang tidak sahaja terhad kepada pancaran radiasi tidak menjadi satu kepentingan dan keutamaan kepada penduduk setempat.

Apakah risiko itu boleh dipadankan dengan manfaatnya?. PAS menyangkal kenyataan ini apabila ia melibatkan industri yang berisiko tinggi seperti ini.

Insiden dari loji nuklear Fukushima boleh dirasai oleh beberapa negara yang beribu-ribu batu jauhnya. Tetapi kesan ini tidak dirujuk sebagai kesan radiasi sahaja tetapi lebih dirujuk kepada potensi penyebaran ‘radioactive particles’ atau ‘serbuk/habuk radioaktif’ yang boleh bergerak dan tersebar melalui air dan udara sehingga manusia yang menghidunya atau menelannya berpotensi sebagai ancaman kepada organ dalaman manusia.

‘External Radiation’ atau ‘Radiasi Luar’ bukan kerisauan utama penduduk setempat tetapi ‘Internal Radiation’ atau ‘Radiasi Dalaman’ itulah yang menjadi kegusaran utama penduduk setempat. Tahap pencemaran habuk yang sedia dari Kawasan Perindustrian Gebeng (GIE) akan lebih parah dengan kehadiran kilang LAMP milik LYNAS itu. Pendedahan radiasi dalaman berkemungkinan tetap ada.

Kenyataan yang mengatakan bahawa ketakutan orang ramai hanya merujuk kepada tahap radiasi sahaja juga tidak tepat kerana hakikatnya bukan tahap radiasi sahaja yang menjadi pertikaian penduduk setempat selama ini malah tahap radiasi yang dimaksudkan beliau yang mirip hanya kepada ‘external radiation’ atau ‘radiasi luar’ sahaja sebenarnya lebih menjurus kepada ancaman ‘internal radiation’ atau ‘radiasi dalaman’ seperti yang dimaksudkan di atas. Radiasi dalaman boleh menyumbang kepada kerosakan organ dalaman manusia.

Kegusaran penduduk dan pandangan umum dari berbagai lapisan masyarakat adalah berdasarkan beberapa tindakan yang di lakukan oleh Lynas terlalu tergopoh-gapah untuk meneruskan operasi pembinaan tanpa mengambil pandangan penduduk dan rakyat khususnya di Kuantan serta kawasan yang berhampiran.

Bagaimanakah keyakinan tinggi di kalangan penduduk setempat terhadap agensi penguatkuasa alam sekitar itu wujud jika pencemaran Sungai Balok sudah ditahap 2 dan 3? Adakah rakyat harus yakin akan kredibiliti agensi penguatkuasa yang berkenaan untuk memantau kilang LAMP milik LYNAS jika Sungai Balok sendiri sudah gagal dipantau agensi kerajaan yang berkenaan.

Adakah dengan semua ini, rakyat harus tetap yakin dengan kredibiliti agensi kerajaan yang berkaitan?

Rakyatkah yang salah?

PAS juga menyangkal bahawa isu LYNAS ini dibawa oleh PKR. Malah PAS sekali lagi tetap bertegas bahawa isu LYNAS adalah isu yang dibawa oleh PAKATAN RAKYAT dan telah lama disepakati.

Rakyat Kuantan khususnya mempunyai sebab untuk takut akan kewujudan Kilang LAMP milik LYNAS. Kenyataan bahawa Kilang LAMP milik LYNAS itu selamat bersandarkan laporan IAEA juga tidak tepat kerana penilaian panel pakar IAEA itu hanya bersandarkan tahap pembinaan infrastruktur Kilang LAMP milik LYNAS yang pada ketika itu hanya ditahap 40 peratus sahaja malah Kilang itu masih belum beroperasi dan pengurusan sisa buangan juga tidak dinilai, bagaimanakah pihak-pihak tertentu boleh dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan bahawa Kilang LAMP milik LYNAS itu SELAMAT?

Malah 11 cadangan penambahbaikan yang dicadangkan oleh panel IAEA itu jelas menunjukkan bahawa polisi, piawaian dan prosedur yang sedia ada di Negara ini masih terbelakang berbanding piawaian antarabangsa. Jika Negara ini memenuhi piawaian antarabangsa, kenapa perlu ada 11 penambahbaikan itu?.

Hakikatnya kehadiran Kilang LAMP milik LYNAS dibuat tanpa penglibatan pihak awam dan tidak menyeluruh. Malah kelemahan ini diakui panel IAEA itu dan wakil MITI sendiri. Adakah salah rakyat untuk beremosi apabila hanya diberitahu ketika pembinaan infrastruktur kilang sudah mencecah 40 peratus? Dan adakah fakta-fakta yang dibentangkan oleh wakil penduduk adalah semata-mata propaganda dan tidak berdasarkan ilmu? Termasuk tiada rujukan kepada pakar-pakar tertentu?.

Rakyat tidak pernah beremosi kosong, malah emosi itu disertakan kajian yang menyeluruh dan bersandarkan rujukan-rujukan yang tertentu sehingga terbukti bahawa salah satu isu yang dibangkitkan wakil penduduk setempat berkenaan ketiadaan pelan pengurusan sisa buangan diakui oleh panel IAEA sendiri sebagai salah satu penambahbaikan yang perlu disediakan oleh pihak LYNAS dan AELB.

Kenapa rakyat pula yang terpaksa berhempas pulas meyakinkan kerajaan sedangkan agensi-agensi yang berkenaanlah yang harus menyakinkan pihak kerajaan bahawa pelan pengurusan sisa buangan adalah satu kewajipan yang perlu ada.

Bukankah rakyat yang berperanan sebagai majikan kepada agensi-agensi yang berkenaan melalui bayaran cukai pendapatan tahunan?

Kenapa rakyat pula yang terpaksa berhempas pulas untuk melindungi keselamatan, kesihatan dan alam sekitar penduduk setempat?

Zulkefly Mohamad Bin Omar
Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Pas Pusat

Wednesday, August 24, 2011

PAS: 'Daftar pemilih kotor' untuk tumbangkan S'gor

Dewan Pemuda PAS Pusat mendakwa pihaknya mempunyai "daftar pemilih kotor" yang didakwa boleh menumbangkan kerajaan negeri Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Mohd Adram Musa berkata pihaknya mempunyai data seramai "puluhan ribu" yang didakwa "pengundi klon".

"Apa yang kami ada, daftar pemilih kotor yang sudah cukup untuk menjatuhkan kerajaan negeri Selangor.

"Adakah ini kerja-kerja seperti mana yang disebut oleh perdana menteri yang berkata melakukan apa sahaja untuk mengambil balik Selangor?

"Apa yang kami ada, sudah cukup (untuk) menjatuhkan kerajaan Selangor," katanya.

Menurutnya lagi, berdasarkan analisis pihaknya jumlah pengundi klon itu, membolehkan BN merampas sekurang-kurang sepuluh kerusi DUN di negeri itu.

Sehubungan itu, beliau mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya dan Jabatan Pendaftaran Negera menjelaskan jumlah pengundi dari daftar pemilih yang telah digugurkan dan yang akan digugurkan.

Pihaknya memberi masa 14 hari kepada kedua-dua pihak tersebut untuk membuat penjelasan.