Stop Lynas

Stop Lynas

IKLAN PINJAMAN

IKLAN PINJAMAN

Followers

Tuesday, December 13, 2011

ANAK berdemo, tuntut pengarah Felda dikekalkan

Sekumpulan 50 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini berhimpun di hadapan ibu pejabat lembaga berkenaan untuk menuntut supaya pengarah besarnya, Datuk Zulkifli Wahab dikekalkan jawatannya.

NONEPengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang mengetuai kumpulan itu berkata, "penyingkiran" Zulkifli merupakan satu penghinaan kepada ketua eksekutif berkenaan.
Mazlan mendakwa, penyingkiran itu dibuat berdasarkan syor daripada pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad kepada perdana menteri supaya Zulkifli mengambil cuti untuk belajar.

Beliau turut mengedarkan salinan dokumen didakwa surat Isa kepada perdana menteri bertarikh 21 November berhubung syor berkenaan.

"Sesungguhnya ini adalah proses penyingkiran kepada seseorang yang dilihat tidak mengikut telunjuk (Isa). Adalah menyedihkan seorang pengarah besar diperlaku begitu hina," kata Mazlan lagi dalam memorandumnya.
Jelasnya, Zulkifli disingkirkan kerana tidak bekerjasama dengan Isa dalam usaha untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd ke Bursa Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan memorandum berkenaan kepada seorang pegawai kanan Felda, Mazlan mendakwa, Zulkifli telah menyatakan pendirian menentang tindakan "gali kubur warga Felda" melalui penyenaraian itu.
Zulkifli berbuat demikian dalam satu mesyuarat lembaga Felda sebelum ini, kata Mazlan ketika ditanya wartawan.
NONEMengulas lanjut, beliau berkata penyenaraian itu akan menyebabkan pendapatan peneroka berkurangan sehingga 80 peratus daripada apa yang diunjurkan pada tahun lalu.

Jelasnya, penyenaraian berkenaan akan memberi keistimewaan kepada FGHV – antaranya pajakan tanah Felda seluas lebih 360,000 hektar dan juga hak mutlak ke atas tanaman, hasil jual beli dan juga insentif kerajaan.

"Maknanya kuasa (FGHV) sangat besar sehingga menelan (hak peneroka)," kata Mazlan lagi.

Mazlan juga berkata, sebab itulah juga keputusan untuk melantik Isa sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) dibuat oleh satu mesyuarat lembaga Felda pada 25 Ogos lalu, yang tidak dihadiri Zulkifli.

NONEMesyuarat tersebut dipanggil "secara tergesa-gesa" oleh Isa sendiri dan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga tidak keluar daripada mesyuarat apabila pelantikan berkenaan dibincangkan, dakwa Mazlan.

Mazlan mendakwa, tindakan itu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

Selain melaungkan slogan "halau Isa" dan "hidup peneroka", kumpulan peneroka dan aktivis yang berhimpun selama lebih setengah jam di hadapan ibu pejabat Felda, Jalan Perumahan Gurney itu turut membawa sepanduk bertulis "Allah selamatkan Felda dan warganya daripada golongan pengkhianat."

Friday, December 9, 2011

Bila tersepit, baru Umno ingat PAS

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Apabila orang Melayu mula menolak Umno, maka baru pemimpin Umno teringat bahawa PAS adalah parti orang Melayu.

“Selama ini mereka memandang PAS sebelah mata sahaja, seolah-olah PAS bukan parti Melayu.
“Sewaktu mereka kuat seolah-olah PAS ini, parti haram. Apa yang mereka tidak buat kepada PAS selama ini,” ujar AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam satu kenyataan.
Justeru, tanya beliau, berapa ramai di kalangan pimpinan PAS yang ditangkap ISA, ditukar tempat kerja, diturun pangkat, diskriminasi bantuan, menganaktirikan Kelantan, menghalang ustaz-ustaz PAS daripada memberi ceramah agama.
Sekarang, ujarnya mereka cuba mengajak PAS bersatu atas nama perpaduan Melayu, kononnya Melayu terancam pada hal  yang terancam ialah Umno.
Tambahnya, terbaru seruan Datuk Seri Najib Razak di dalam Persidangan Agung Umno supaya PAS meninggalkan DAP demi agama dan Melayu, dan menuduh PAS kuda tunggangan DAP.
Katanya, ketika mereka menuduh DAP mengancam Melayu, rakan sejawat mereka, MCA begitu biadap dengan Islam dan Melayu.
“Kenapa mereka tidak menegur keceluparan mulut Presiden MCA, Chua Soi Lek terhadap Islam?
“Cuba bayangkan jika ucapan itu keluar daripada pemimpin DAP,” katanya lagi.
Semalam, kata beliau NGO pro Umno di Pulau Pinang menghadiahkan replika kek najis kepada Lim Guan Eng sempena ulang tahun ke-51.
“Ajaran mana yang mengajar sikap begini? Adakah ini yang dikatakan Islam wasatiah?” katanya.
Beliau menegaskan, semua tindakan itu memalukan Islam dan menjauhkan orang bukan Islam dengan Islam yang harmoni dan mulia.
Justeru, beliau menggesa pemimpin Umno supaya menghentikan pelawaan untuk bersatu dengan PAS.
Jelasnya, PAS mempunyai jati diri dan tahu meletakkan kompas perjuangan.
Katanya lagi, PAS mendahulukan Islam daripada segalanya, walaupun apa cercaan yang diterima kerana itu adalah lumrah perjuangan.
“Perjuangan PAS semakin diterima, sentiasa segar di hati rakyat, ketika Umno sedang mengalami mimpi ngeri untuk mara ke hadapan,” ujarnya

Sunday, December 4, 2011

Ambil iktibar kebocoran kilang Lynas di Australia

  
KUANTAN, 2 Dis: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (gambar) menggesa kerajaan ‘membuka mata’ dengan berlakunya kebocoran sisa radioaktif di Concentration Plant Lynas di Mt Weld, Australia baru-baru ini kerana kedudukan kilang Lynas Advanced Materials Plant (Lynas) di Gebeng nanti dijangkakan akan membawa bahaya yang jauh lebih tinggi.
Menurutnya, ini disebabkan kandungan radioaktif pada sisa pejal di Mt Weld ialah pada kadar 1.8 Bq|g sedangkan radioaktif sisa pepejal yang dijangkakan terhasil kilang itu di Gebeng ialah pada kadar 6 Bq|g.
Tambahnya, kadar maksimum yang diterima antara bangsa pula ialah 1 Bq|g dengan Malaysia sendiri turut menerima pakai standard antara bangsa tersebut.
“Bukan itu saja, dalam jarak 30 kilometer radiasi Lynas di Mt Weld, tidak wujud penduduk di sana sedangkan dalam 30km radius di Gebeng ada terdapat 700,000 penduduk.
“Sementara dalam jarak 25 kilometer radiasi Lynas di Mt Weld, tidak terdapat air bawah tanah sedangkan di Gebeng, kedudukan Lynas di Gebeng terletak di atas tanah gambut yang paras airnya lebih tinggi daripada paras air biasa dan sungai Balok berkedudukan disebelah Gebeng.
“Lynas Gebeng juga terletak dalam lingkungan 5 kilometer dari Laut China Selatan, bersebelahan pusat peranginan Cherating yang menjadi tumpuan destinasi pelancong sementara perairan tersebut juga merupakan sumber hasil ekonomi tempatan di mana industri perikanan juga merupakan sumber ekonomi utama,” katanya.
Tambah Fuziah, sebarang kebocoran jika berlaku di Lynas akan meninggalkan impak yang bakal memusnahkan alam sekitar serta ekonomi di samping kesihatan penduduk kerana tiada industri yang bebas seratus peratus daripada kemalangan termasuk Lynas terkecuali.
Katanya, selama ini Lynas berselindung di sebalik Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi  Malaysia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang seolah-olah menjadi ‘jurucakap’ mereka.
“Saya tegaskan bahawa Lynas tidak wajar berada di Gebeng kerana situasi di Gebeng sekali-kali tidak akan menepati segala aspek keselamatan mengikut piawaian antarabangsa.
“Sebab itu saya menyambut baik kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan, Datuk Rebecca Sta Maria yang menyatakan bahawa Lynas mesti mematuhi peraturan sebelum lesen pra-operasi boleh di keluarkan keatas LAMP ketika beliau melawat  kilang itu di Gebeng kelmarin.
“Janganlah cuba mengulangi kesilapan di tempat lain yang hanya akan menjadikan penduduk di Gebeng dan sekitarnya menjadi mangsa,” katanya.
Beliau turut kesal sebelum ini pihak kerajaan cuba mengelirukan rakyat dengan mengatakan bahawa sisa dari Lynas adalah selamat sehingga boleh ditabur merata-rata dan percaya maklumat tersebut merupakan input daripada Lynas semata-mata.