KUALA LUMPUR, 18 Jun: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menganggap tindakan Perkasa mempertahankan Utusan Malaysia yang menghina hukum Islam dengan menyiarkan karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” sebagai tindakan khianat kepada Islam.
“Sangat memalukan bila mana sebuah pertubuhan Melayu yang kononnya organisasi pejuang Melayu dan Islam kini menjadi seperti tikus yang sudah kehilangan gigi untuk menggigit,” kata ketuanya, Kamaruzaman Mohamad kepada Harakahdaily.
Katanya, ramai pihak yang mengecam karikatur itu, tetapi tiba-tiba sahaja setiausaha agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali mengatakan ianya tidak menghina Islam.
Tegasnya, dengan memainkan isu seolah-olah dalam perundangan Islam permintaan seorang wanita yang didakwa dirogol kerana tiada 4 saksi boleh ditolak begitu sahaja, mereka cuba memesongkan fakta sebenar dan menunjukkan seperti hukum Islam itu sempit.
“Hakikatnya, kes rogol dan zina tidak sama. Hanya kes zina dan tuduhan zina sahaja yang perlukan 4 saksi sedangkan dalam siasatan kes rogol, faktor dan bukti lain tetap diambil kira..
“Apakah mereka belum habis lagi khatam Al-Quran atau sudah mengamalkan kitab lain yang hanya menyebut hidup Melayu, keris dan kepala lembu?” soalnya.
Nampaknya, kata belau persepsi rakyat bahawa Perkasa hanya menjadi perkakas Umno dan hanya menyalak apabila Umno dihimpit dengan kemarahan rakyat adalah benar.
Tambahnya, Utusan yang menjadi lidah rasmi Umno akan dikatakan betul walau apa sahaja yang disiarkan tanpa mengira ianya benar atau fitnah atau menghina Islam.
Sehubungan itu, ujarnya DPPWP menyeru umat Islam menolak pertubuhan Perkasa dan meninggalkan organisasi itu.
“Rakyat juga harus mengajar Utusan dengan memboikot akhbar berkenaan yang enggan meminta maaf,” katanya.
No comments:
Post a Comment