Stop Lynas

Stop Lynas

IKLAN PINJAMAN

IKLAN PINJAMAN

Followers

Thursday, June 16, 2011

BERSIH 02: Pemuda pas tidak gentar......KP Pas pusat.

1. Biarpun berhadapan dengan ugutan dan halangan, langkah derap Dewan Pemuda PAS Malaysia memobilisasi kebangkitan rakyat guna mendesak satu sistem demokrasi yang adil dan pilihanraya yang telus, sekali - kali tidak terjejas semata - mata kerana tindakan nakal pihak tertentu termasuk UMNO dan Perkasa. Biar 1000 laporan polis yang mereka lakukan, mereka tidak mungkin mampu memadam semangat anak muda yang menuntut keadilan dan ketelusan dalam sistem demokrasi negara ini justeru keadilan dan ketelusan tersebut juga menjadi  sebahagian daripada tuntutan Islam.

2. BERSIH 02 adalah manifestasi dari kebangkitan anak muda yang mula bosan dan kecewa dengan sikap kerajaan UMNO dan BN mempermainkan rakyat dan mempersenda sistem demokrasi. Kepincangan demokrasi ala malaysia ini masih ketara, apabila pihak Pakatan Rakyat terus dikekang daripada mendapat hak yang sama untuk akses dengan media sedang Barisan Nasional sepenuhnya memanipulasi media arus perdana [seperti RTM] untuk memberi maklumat satu hala atau sebelah pihak kepada rakyat. Laporan kajian Kebebasan Media 2011 oleh Freedom House, kedudukan Malaysia jatuh ke tangga 143 daripada 196 negara. Manakan tidak ....
  • Kementerian dalam negeri [ KDN ] gagal meluluskan permohonan permit Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Hata Wahari menerbitkan akhbar harian "Utusan Rakyat"
  • Sehingga kini hasrat DPP Malaysia mahu melihat lahirnya sebuah akhbar harian "Purnama" yang dimohon permitnya lebih sedekad yang lalu masih tidak kesampaian.
  • Begitulah nasib yang menimpa Harakah, Suara Keadilan dan Rocket. Bukan sahaja tidak dibenarkan terbit secara harian, ianya terhad untuk ahli sahaja dan terus menerima tekanan dari pelbagai sudut.
3. Undi pos pula akan terus menjadi  tali hayat Barisan Nasional agar mereka terus berkuasa dan mampu melangsungkan tradisi "membelasah" rakyat dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Lihat sahaja laporan Global Financial Integrity yang mendakwa sebanyak RM 889 bilion tiris dan mengalir keluar dalam tempoh lapan tahun antara 2000 - 2008. Begitu juga laporan Ketua Audit Negara yang terbaru, sebanyak RM 28 bilion  telah tiris dalam perbelanjaan dana awam.

4. Undi pos juga akan terus menjadi sandaran Barisan Nasional untuk terus kekal berkuasa lalu membuli rakyat dengan  kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang, kenaikan tarif bil elektrik, saman ekor serta "membelenggu" anak muda dengan lingkaran hutang  PTPTN.  Undi pos adalah satu makenisme yang paling strategik untuk mengekalkan survival kuasa politik Barisan Nasinoal sedang ia tidak lagi relevan dalam sistem demokrasi moden hari ini.

5. Sebahagian mereka menempelak hasrat BERSIH 02 kononnya tidak lagi relevan kerana Pakatan Rakyat telah memenangi 4 buah negeri dan hampir menguasai keseluruhan kerusi di Wilayah Persekutuan. Menang di 4 buah negeri bukan bermakna kami telah berpuas hati dengan tahap ke"bersihan" sistem pengendalian pilihanraya dalam negara ini. Saya percaya, jika pilihanraya benar - benar dikendalikan sebersih - bersihnya dari sebarang manipulasi dan sistem demokrasi dilangsungkan dengan telus dan adil, Pakatan Rakyat mampu menang sekurang - kurangnya di 8 buah negeri pada pilihanraya umum 2008 yang lalu malah berkemungkinan besar mampu memperolehi simple majoriti bagi menguasai parlimen.

6. Antara kepincangan demokrasi yang diamalkan dalam negara kita Malaysia ialah tindakan mereka yang mahu menghalang hak rakyat berhimpun secara aman seperti Himpunan BERSIH 02. Setelah mendengar janji daripada penganjur BERSIH 02 bahawa ia akan dilangsungkan secara aman, mereka masih mengugut rakyat agar tidak menyertai himpunan tersebut. Selayaknya pihak berkuasa mengambil langkah mengawal  himpunan BERSIH 02 sebagaimana mereka boleh mengawal himpunan dan perarakan puluhan ribu manusia pada hari sambutan kemerdekaan, malam citrawarna dan sebagainya.

7. Pihak berkuasa juga sayugianya menghalang hasrat pihak - pihak lain selain BERSIH 02 yang terlebih dahulu telah mengisytiharkan hasrat menganjurkan himpunan pada hari yang sama dan di tempat yang sama, kerana ia adalah satu bentuk provokasi yang boleh mencetus ketidaktenteraman suasana himpunan tersebut. Saya hairan kenapa Perkasa atau lainnya mahu mengadakan himpunan pada hari yang sama dan tempat yang sama ? Ertinya merekalah yang mahu mencetus provokasi dan suasana tidak aman bukan pihak BERSIH 02.

8. Andai mereka mahu menduga pengaruh, mereka boleh menganjurkan himpunan serupa pada 10 hb Julai iaitu sehari selepas BERSIH 02 atau pada 8 hb Julai iaitu sehari sebelumnya. Kenapa mereka begitu terdesak mahu mengadakan himpunan mereka pada hari yang sama ? mereka marah rakyat mahu sertai  BERSIH 02 kerana himpunan itu kononnya demontrasi jalanan yang sia - sia, tetapi mereka juga mahu menganjurkan himpunan untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap BERSIH 02 ! Alangkah dangkalnya mereka berfikir !

9. Benarkan dahulu rakyat menyertai BERSIH 02 pada 9 hb Julai untuk membantah sistem pengendalian demokrasi dan pilihanraya yang pincang dalam negara ini. Maka keesokkan harinya, bolehlah mereka pula berhimpun untuk membantah himpunan BERSIH 02 jika mereka tidak berpuas hati atau kiranya mereka kurang sabar, boleh sahaja mereka berhimpun pada 8 hb Julai untuk melahirkan bantahan mereka dan benarkan BERSIH 02 berlangsung dengan aman tanpa sebarang provokasi pada 9 hb Julai 2011. Apakah kerajaan UMNO dan BN perlu diajar sedemikian rupa erti demokrasi ?

10. Saya mengharapkan anak - anak muda tidak terpengaruh dengan taktik kerajaan Barisan Nasional dan proksi - proksi mereka yang cuba  mengugut untuk membatalkan BERSIH 02 justeru itulah yang akan meletakkan Barisan Nasional terus selesa menghadapi pilihanraya umum ke 13 secara berat sebelah dan tidak telus. Insyaallah, Dewan Pemuda PAS Malaysia dan seluruh warganya akan terus berada di saf hadapan memimpin kebangkitan anak muda bersama rakan - rakan dari Angkatan Muda Keadilan dan DAPsy.

No comments:

Post a Comment