GUA MUSANG, 18 Okt: Biarpun hanya sempat dua tahun lebih bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), namun nama Allahyarham Che Hashim Sulaima tidak lekang dari bibir masyarakat Galas.
Sikapnya yang bertanggungjawab, rendah diri, suka menolong dan tidak berkira dengan rakyat, menjadikan kehilangannya seperti sukar dicari ganti.
Tidak hairanlah jika rata-rata masyarakat sama ada Melayu, Cina, India mahupun Orang Asli sangat sayang kepada Adun PAS tersebut.
Menurut Penghulu Kampung Bandar, Chong Loi San, 60, (gambar) Allahyarham Chek Hashim seorang yang mudah didampingi dan tidak pernah berlagak seperti seorang Yang Berhormat.
"Saya kenal dia lebih 20 tahun, dia orang bagus, bukan senget-senget punya.
"Dia dulu jual rotan, saya beli dengan dia buat niaga kerusi.
"Dia suka tolong sama kita. Pagi ke, petang ke, malam ke, bila kita panggil dia mesti sampai.
"Banyak kaum Cina undi dia sebab dia mudah kira," ceritanya menggambarkan peribadi Allahyarham semasa hayatnya.
Tambah Chong lagi, beliau mengenali bekas Adun Galas itu seorang yang pemurah dan melayan masyarakat berbilang kaum di kawasannya dengan adil.
Antara jasa paling besar Allahyarham katanya, adalah menyelesaikan masalah geran tanah kepada masyarakat Dun itu.
"Kita Cina, India, Melayu Gua Musang bukan nak kaya sangat, kita nak tanah ada geran dan YB ni banyak bantu kita dapatkan geran," tambahnya lagi.
Kehilangan Allahyarham jelasnya sangat dirasai kaum Tionghua Gua Musang yang banyak terhutang budi pada beliau.
"Dia meninggal memang orang Cina sayang sangat. Waktu dia sakit, kita orang Cina kumpul duit nak bawa dia pergi berubat dekat negeri China.
"Saya sendiri suruh sepupu saya teman dia pergi sana sebab Chek Hashim tak tahu cakap Cina," katanya.
Biarpun hanya dua tahun Allahyarham sempat menjadi wakil rakyat mereka, namun tempoh itu katanya sudah cukup membuktikan Adun PAS boleh diberi mandat.
"Kalau YB PAS memang tidak ada masalah. Dia tolong kita, dan kita mesti tolong dia," ujarnya menggambarkan sokongan.
Chek Hashim Sulaima meniggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang 21 September lalu akibat kanser usus.
Allahyarham memenangi kerusi Dun Galas dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu mengalahkan penyandang dari BN, Saufi Deraman.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, manakala 26 Oktober hari penamaan calon.
Secara tradisi, kerusi Dun tersebut adalah milik BN, namun berjaya dirampas PAS pada tsunami politik PRU ke-12 lalu.



Pada sidang media di Putrajaya, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar juga mengumumkan tarikh penamaan calon akan diadakan pada hari Selasa, 26 Oktober ini.
Penamaan calon yang dijadualkan pada 26 Oktober ini bakal berlangsung di Bilik Gerakan Jajahan Gua Musang manakala Pusat Sivik Gua Musang akan dijadikan pusat penjumlahan undi pada malam 4 November.
Pada 26 Julai lalu, beliau dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pakar Perdana di Kota Bharu, tetapi kemudiannya dibenarkan pulang.
KUALA TERENGGANU, 22 Sept: Sebuah jet eksekutif jenis Falkon 900 M 37-0 milik Tentera Udara di Raja Malaysia (TUDM) dipercayai dipandu dua juruterbang TUDM terbabas ke dalam kawasan lapang, lapangan terbang sewaktu mendarat cemas pagi tadi.