Stop Lynas

Stop Lynas

IKLAN PINJAMAN

IKLAN PINJAMAN

Followers

Sunday, November 14, 2010

Nafi sumbangan negeri, Sultan Kedah dukacita

ALOR SETAR, 14 Nov: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kecewa dengan pihak-pihak yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan kerajaan negeri membantu mangsa banjir besar baru-baru ini.

"Namun, beta dukacita kerana ada suara sumbang yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan kerajaan beta serta semua pihak yang terlibat di dalam membantu mangsa banjir," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Penggal Ketiga, dekat sini, pagi tadi.

Gambar: Pemeriksaan perbarisan PDRM oleh Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika perasmian Sidang Dun Kedah.

Sementara itu, baginda juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang dana, saling membantu dan bekerjasama memberi bantuan tanpa mengira sempadan agama, bangsa dan fahaman politik semasa negeri menghadapi bencana banjir terburuk itu.

"Beta merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat membantu mangsa banjir dan keadaan ini jelas menggambarkan semangat persaudaraan dan perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat beta yang berbilang kaum dalam menghadapi bencana, titah baginda lagi.

Ucapan tahniah turut dirakamkan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) yang berjaya menerajui kerajaan negeri secara adil, beramanah dan proaktif.

"Rakyat di negeri ini telah diberi layanan yang adil, hubungan antara kaum semakin erat melalui pelbagai aktiviti yang telah dijalankan. Beta dapati kerajaan negeri telah memberikan sepenuh daya usaha dan kerjasama dengan semua pihak bagi memajukan negeri ini," titah baginda.

Friday, November 12, 2010

Hab pendidikan: Hanya 1 rumah Melayu diroboh

Hanya 10 peratus atau 1 daripada 10 rumah yang terlibat dalam rancangan pembinaan hab pendidikan Pulau Pinang di Pondok Upeh, Balik Pulau adalah milik orang Melayu, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Lim berkata, berdasarkan statistik ini jelas membuktikan Umno sengaja memainkan isu perkauman untuk menghasut orang Melayu membenci kerajaan Pakatan Rakyat yang tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum di negeri ini.

“Fitnah dan tohmahan Umno ini terus dilakukan walaupun rancangan murni kerajaan negeri Pulau Pinang itu melahirkan lebih ramai cendiakawan tempatan dan mengelakkan lebih banyak warga tempatan berbakat keluar bekerja di luar negara.

“90 peratus atau 9 buah rumah lagi adalah milik orang bukan Melayu sejak sekian lama dan semua penduduk yang terdiri daripada 10 rumah akan menerima pampasan mengikut nilai pasaran semasa sekitar RM160 juta,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, hari ini.

Rancangan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membina hab pendidikan di Pondok Upeh itu menjadi isu panas sehingga mencetuskan demonstrasi di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini kerana didakwa kononnya sebahagian strategi DAP untuk mengusir orang Melayu di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Lim berkata, isu yang cuba dimainkan oleh Umno mengenai hab pendidikan itu membuktikan secara jelas bahawa kerajaan BN kini ketandusan idea dan bankrap isu untuk menyerang kerajaan Pakatan Rakyat.

Pada 2 November lalu, sekumpulan kira-kira 100 orang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang membantah isu pengambilan tanah di Balik Pulau untuk pembinaan sebuah universiti swasta.

Perang mulut kemudian tercetus apabila kedua-dua pihak - Pakatan Rakyat dan BN saling menuduh orang yang memanjat pintu pagar sewaktu protes Selasa lalu di luar bangunan DUN Pulau Pinang adalah ahli PAS dan bukannya Umno.

Thursday, November 11, 2010

Kedah belanja RM2 juta bantu mangsa banjir

ALOR SETAR, 11 Nov: Kerajaan Negeri Kedah telah membelanjakan hampir RM2 juta bagi membantu mangsa banjir yang terlibat dalam bencana yang menimpa negeri Kedah baru-baru ini.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada sidang media di sini semalam.

Menurut beliau lagi sumbangan bagi mangsa banjir tersebut telah disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi penyediaan segala bentuk keperluan seperti makanan dan seumpamanya.

"Selain dari bantuan tersebut, tenaga kerja dan logistik turut disediakan bagi membantu banjir yang berpindah ke tempat perpindahan. Namun begitu bagi mereka yang tidak berpindah kemungkinan bantuan dalam bentuk lain akan dipertimbangkan.

"Sebelum ini adanya dakwaan mangsa banjir yang tidak menerima bantuan datangnya dari mereka yang enggan berpindah ke pusat pemindahan yang telah ditetapkan, " katanya lagi.

Azizan juga berkata, sehingga semalam jumlah mangsa banjir yang telah pulang ke rumah adalah seramai 45,583 mangsa yang terdiri dari 11,840 keluarga.

Manakala seramai 12,185 mangsa yang terdiri dari 3181 keluarga masih lagi ditempatkan di 23 buah pusat pemindahan.

Katanya lagi antara pusat pemindahan yang telah ditutup ialah dalam daerah Padang Terap, Pokok Sena dan Pendang.

(Gambar: Pegawai kanan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah, Zulkifli Yahya melihat bungkusan yang disiapkan sebelum diserahkan kepada mangsa banjir)

Sementara itu 11 pusat pemindahan di Kubang Pasu dan 12 di Kota Setar masih lagi beroperasi sehingga keadaan dipastikan selamat sebelum mangsa banjir dibenarkan pulang kerumah masing-masing.

Beliau juga menyelar Kerajaan Pusat yang cuba mempolitikkan isu bantuan kepada mangsa banjir apabila mendakwa kerajaan negeri tidak mampu untuk menyalurkan sumbangkan kepada mangsa yang terlibat.

"Sebenarnya kita tidak pernah memohon bantuan dari Kerajaan Pusat bagi membantu mangsa banjir di negeri ini. Kita hanya meminta bantuan dari Perak. Manakala Pulau Pinang dan Selangor pula menawarkan bantuan yang berupakan minuman dan bekalan air bersih.

"Perak menyalurkan bantuan yang berupa logistik, lori tangki serta 120 sukarelawan bagi membantu melicinkan perjalanan membantu mangsa banjir. Kita juga berterima kasih kepada mereka kerana sanggup untuk mengenepikan perbezaan fahaman ideologi demi kemanusiaan, " ujarnya lagi

Relax Jap: gambar keteguhan iman orang islam

Dimana ada iman disitu ada keinginan untuk beribadah kepada Allah SWT.








Wednesday, November 10, 2010

Apa rosak RM65 juta ubahsuai Seri Perdana

KUALA LUMPUR, 10 Nov: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar terus mempersoal tindakan kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM65 juta untuk pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di Putrajaya.

Mahfuz sewaktu berbahas di Dewan Rakyat petang semalam berkata, peruntukan yang begitu tinggi itu amat tidak wajar hanya untuk mengubah suai kediaman Perdana Menteri yang masih dalam keadaan baik.

"Kenapa peruntukan yang begitu tinggi ini diberikan kepada hal yang tidak sepatutnya? Setiap kali belanjawan, ada peruntukan untuk ubah suai kediaman Perdana Menteri.

"Setiap kali tukar Perdana Menteri, berlaku pengubahsuaian. Apa yang rosak sebenarnya? Kita nak tahu apa yang memerlukan pengubahsuaian sampai memerlukan kos yang tinggi? Setiap kali masuk rumah, ada pinggan mangkuk pecah ke?" soalnya berseloroh.

Naib Presiden PAS itu juga berkata, kerajaan seharusnya mengutamakan belanjawan terhadap keperluan rakyat, bukan untuk kepentingan peribadi.

"Bayangkan sebanyak RM65 juta untuk tempoh dua tahun. Untuk tahun hadapan kos pengubahsuaian sebanyak RM19.5 juta. Maksudnya berbaki sebanyak RM45.5 juta untuk tahun 2012. Sedangkan kos sebanyak itu boleh digunakan untuk kebajikan rakyat yang jauh lebih memerlukan," katanya lagi.

Seri Perdana di Putrajaya mula dibina pada tahun 1997 dengan kos RM24 juta dan siap dua tahun kemudiannya. Bangunan ini diubah suai buat kali pertama pada tahun 2005 yang menelan belanja hampir RM6 juta.

Sebelum ini beberapa wakil Pakatan Rakyat dalam perbahasan Bajet 2011 telah membangkitkan perkara ini antaranya Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan Liew Chin Tong, (DAP-Bukit Bendera).

Tuesday, November 9, 2010

Guna Samseng untuk halang YB melakukan kerjanya. ADUN Sekinchan diserang.

ADUN Sekinchan Ng Suee Lim berkata beliau tidak merancang untuk membuat sebarang kekecohan ataupun berdemonstrasi di Tanjong Karang pada Khamis lalu, tetapi hadir untuk bertemu sekumpulan petani di situ.

Katanya, petani berkenaan telah memanggilnya hadir untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Namun, beliau tetap dipukul oleh sekumpulan samseng apabila tiba di tempat berkenaan.

"Saya mahu nyatakan sebagai ADUN saya mendengar rintihan dan rungutan rakyat, adakah itu salah?," katanya ketika bercakap kepada wartawan ketika ditemui di bangunan annexe DUN Selangor hari ini,

Ng hari ini turut mengedarkan beberapa keping gambar yang dirakamkan ketika kejadian itu berlaku.

ADUN DAP itu turut mempersoalkan sama ada terdapat peruntukan dalam perlembagaan persekutuan mahupun negeri yang melarang wakil rakyat daripada mana-mana kawasan daripada memasuki kawasan yang tidak diwakilinya.

"Sebagai seorang ADUN, walaupun dari Sekinchan, saya wajib prihatin kepada semua kawasan di Selangor. Noh Omar kata saya telah masuk ke kawasan dia, jadi saya kena pukul.

"Ini adalah dunia tanpa sempadan, ADUN dan MP juga tidak ada sempadan. Sempadan yang ada hanyalah mentaliti kekampungan Noh Omar, menteri kampung yang bermentaliti kampung," katanya lagi.

Ng berkata demikian ketika mengulas kenyataan Noh sebelum ini yang menyatakan kepada Ng supaya tidak bersikap 'kurang ajar' dan supaya tidak memasuki kawasan orang lain.

Datuk Seri Noh Omar yang juga ahli parlimen Tanjung Karang juga telah menafikan bahawa anggota Umno telah menyerang ADUN Sekinchan itu seperti didakwa Ng.

Dalam pada itu, ketua whip PKR dalam DUN tersebut Azmin Ali mengutuk sekeras-kerasnya, tindakan samseng seperti itu.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Azmin juga berharap polis akan mengambil tindakan secara profesional dan tegas dalam isu tersebut.

Wednesday, November 3, 2010

Dakwaan Umno kafir: Lim saman Ali Rustam, Berita Harian

Ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang hari ini mengarahkan peguamnya mengemukakan saman terhadap laporan akhbar Berita Harian dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam berhubung dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan "Umno Kafir" dalam satu ceramah di dalam kempen pilihan raya kecil di sebuah ceramah di Sungai Terah, Gua Musang, semalam.

Malah kata Lim, beliau langsung tidak hadir pada cermah di Kampung Baru Hulu di kawasan Galas yang juga dihadiri oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim .

"Saya didakwa mengatakan Umno kafir dalam satu ceramah di Galas bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini merupakan fitnah dan pembohongan oleh kerana saya tidak bercakap seperti yang didakwa oleh beliau.

"Saya juga tidak pernah menghadiri ceramah di tanah rancangan Kesedar seperti yang didakwa dan ini merupakan perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab yang cuba untuk menyebarkan kebencian kaum dan agama," kata Lim pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Berita Harian dalam laporannya semalam membidas Lim dan DAP yang didakwa semakin berani mencampuri urusan agama Islam dengan menuduh orang Umno kafir.

Akhbar itu memetik Ali Rustam sebagai berkata tindakan DAP mengkafirkan Umno itu adalah hasil ajaran pemimpin PAS yang menjual agama dan tidak menghalang apabila bukan Islam menuduh orang Melayu tidak menyokong PAS sebagai kafir.

“Yang kita sedihnya apabila Lim menuduh orang Melayu parti UMNO kafir disambut dengan laungan takbir 'Allahuakhbar' oleh pemimpin PAS bersama penyokongnya yang dianggap menjual agama Islam kepada kaum lain.”

“Inikah parti yang melaungkan perjuangan Islam yang patut kita sokong dan sudah jauh terpesong akidah sebenarnya,” Ali Rustam dipetik oleh Berita Harian.

Malah lebih mendukacitakan kata Lim, Pemuda Putrajaya Umno membuat laporan polis ke atasnya berhubung laporan palsu itu.

Sehubungan itu, Lim berkata satu laporan polis juga akan dibuat oleh DAP Gua Musang terhadap kedua-dua pihak, hari ini.

Ketika ditanya mengenai saman yang akan dikemukakan itu, Lim berkata saman itu bagi menuntut pihak terbabit menarik balik dakwaan serta meminta maaf di atas kenyataan disifatkan sebagai pembohongan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang juga hadir pada sidang media ini menuntut Berita Harian menarik balik artikel berkenaan dan memohon maaf.

“Tiada pemimpin DAP yang kata Umno kafir. Kita bukan Islam macam mana nak tuduh orang lain kafir?” soalnya.

Ditanya sama ada parti itu akan menuntut bayaran ganti rugi atau pampasan daripada akhbar berkenaan, Guan Eng berkata perkara itu membabitkan maruah dan bukannya kerana wang.

Nik Aziz beri wang zakat tapi dituduh merasuah













Pengarah pilihan raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman hari ini menafikan laporan akhbar Utusan Malaysia yang mendakwa pemberian wang oleh menteri besar kepada sebilangan masyarakat Orang Asli yang diislamkannya sebenarnya adalah wang zakat dan bukannya sebagai rasuah seperti didakwa.

Katanya, beliau telah menyemak dengan setiausaha politik Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mendapatkan penjelasan sebenar berhubung isu itu.

"Saya diberitahu ia adalah wang zakat. Tok Guru mengislamkan tiga Orang Asli ini dan bagi wang zakat.

"Tak kan zakat ini rasuah?" katanya dalam sidang media di markas jentera PAS di Gua Musang hari ini.

Katanya lagi, Suruhanjata Pilihan Raya (SPR) perlu bersikap terbuka dalam isu tersebut.

"Jangan kalau Tok Guru ada beri duit sikit, dianggap rasuah, jangan rakyat tengok SPR ini memihak.

Ini zakat bukan rasuah. Utusan itu suka kelirukan orang, ini memang sikap mereka.

"Tapi saya rasa ia beri kelebihan kepada PAS, kerana bila orang baca mereka akan marah dan anggap ia bohong," katanya.

Tuesday, November 2, 2010

N45 Galas: Ahmad Sanggah Dakwaan Fail Tanah Orang Asli Hilang

Mstar online melaporkan.......

GUA MUSANG: Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak menghadapi masalah untuk menyelesaikan isu hak milik tanah khususnya membabitkan Orang Asli.

Sebaliknya, kata beliau, dakwaan ketiadaan fail atau dokumen berkaitan Orang Asli sehingga menyukarkan kerajaan negeri menyelesaikan isu berkenaan adalah tidak benar.

"Kita tak ada masalah seperti itu, tak timbul masalah yang mengatakan kita tak ada fail-fail yang berkaitan.

"Kerajaan negeri boleh dan sedang teruskan prosesnya (pemberian tanah), ia cuma ambil masa kerana perlu lalui proses tertentu," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke perkampungan masyarakat Orang Asli Kampung Sendrod, Lojing di sini, Isnin.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kota Baru, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjadi punca kepada masalah hak milik tanah yang membelenggu masyarakat Orang Asli.

Wan Abdul Rahim turut menegaskan Tengku Razaleigh 'menghilangkan' semua fail yang berkaitan dengan hal ehwal Orang Asli bersamanya selepas membubarkan Semangat 46 dan menyertai Umno pada 1996 hingga kerajaan PAS Kelantan gagal menangani isu-isu berkaitan kaum terbabit.

Dakwaan berkenaan juga merupakan serangan peribadi yang pertama daripada PAS terhadap Tengku Razaleigh walaupun terdapatnya arahan dan persetujuan supaya Ketua Umno Bahagian Gua Musang tidak 'disentuh' sepanjang kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, Ahmad berkata semua pihak perlu mengamalkan budaya politik yang lebih matang tanpa menyerang peribadi pihak lawan.

"Setiap parti boleh kemukakan dasar masing-masing, biar rakyat lihat dasar mana yang mereka mahukan, (serang) peribadi saya tak setuju.

"Kita perlu profesional dan matang dalam politik," katanya

Monday, November 1, 2010

Penagih Dadah lebih bernasib baik daripada graduan yang terpaksa berhutang setelah dapat ijazah.


Dengan kepesatan pembangunan dan kemodenan kini memerlukan banyak pembelanjaan dan juga pergorbanan daripada seorang pelajar yang sudah bergelar graduan yang baru lepas keluar universiti dan sedang menjenggok kepada dunia yang lebih mencabar namun sudah pun dibebani dengan hutang berpuluh ribu dengan kerajaan, semata-mata untuk mendapatkan sedikit pendidikan dan pengalaman untuk meneruskan kehidupan yang sebenar dibumi Malaysia ini.

Begitulah yang dapat dikeluhkan oleh pelajar yang kini menanggung hutang dan dikejar oleh kerajaan agar membayar balik pinjaman PTPTN. Berbeza sekali dengan universiti yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan apabila keluar daripada universiti ini ,pelajar ini tidak perlu membayar balik apa-apa pun kepada kerajaan. Ini lah universiti pusat pemulihan dadah , Lebih RM 70 seorang dibelanjakan kerajaan Malaysia kepada seorang penagih dadah dalam satu hari dan bayangkanlah apabila penagih ini keluar dari pusat tersebut setelah 2 tahun diberikan kehidupan percuma dan belum tentu mereka ini akan terus dapat berbakti pada negara dengan sijil daripada universiti tersebut dan kebarangkalian besar akan balik semula ke universiti tersebut untuk buat ijazah pula dan ini akan memerlukan lagi banyak pembelanjaan daripada kerajaan.

Sudah sampai masanya kerajaan membuat kajian semula setelah sudah lama ditanggung oleh siswa dengan bebanan ini. Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang adalah satu perniagaan kepada pelajar kita, dan menjadikan pelajar-pelajar kini sebagai anak tiri dan lebih menumpukan perhatian kepada penagih dadah dan juga mereka yang tidak sepatutnya dapat ganjaran sebegitu rupa. Pelajar adalah aset yang penting untuk negara yang boleh memberikan tenaga yang mahir untuk membangunkan negara dan untuk mendapatkan segulung ijazah memerlukan pelajar terpaksa menanggung pinjaman berpuluh ribu.

Pakatan Rakyat sedar akan perkara ini dan akan membantu pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ataupun yang sudah lama keluar universiti akan diberikan perhatian sepenuhnya dan akan menghapuskan terus perniagaan ini, Bermakna pelajar tidak perlu membayar apa-apa setelah mendapat segulung ijazah.