Stop Lynas

Stop Lynas

IKLAN PINJAMAN

IKLAN PINJAMAN

Followers

Wednesday, November 10, 2010

Apa rosak RM65 juta ubahsuai Seri Perdana

KUALA LUMPUR, 10 Nov: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar terus mempersoal tindakan kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM65 juta untuk pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di Putrajaya.

Mahfuz sewaktu berbahas di Dewan Rakyat petang semalam berkata, peruntukan yang begitu tinggi itu amat tidak wajar hanya untuk mengubah suai kediaman Perdana Menteri yang masih dalam keadaan baik.

"Kenapa peruntukan yang begitu tinggi ini diberikan kepada hal yang tidak sepatutnya? Setiap kali belanjawan, ada peruntukan untuk ubah suai kediaman Perdana Menteri.

"Setiap kali tukar Perdana Menteri, berlaku pengubahsuaian. Apa yang rosak sebenarnya? Kita nak tahu apa yang memerlukan pengubahsuaian sampai memerlukan kos yang tinggi? Setiap kali masuk rumah, ada pinggan mangkuk pecah ke?" soalnya berseloroh.

Naib Presiden PAS itu juga berkata, kerajaan seharusnya mengutamakan belanjawan terhadap keperluan rakyat, bukan untuk kepentingan peribadi.

"Bayangkan sebanyak RM65 juta untuk tempoh dua tahun. Untuk tahun hadapan kos pengubahsuaian sebanyak RM19.5 juta. Maksudnya berbaki sebanyak RM45.5 juta untuk tahun 2012. Sedangkan kos sebanyak itu boleh digunakan untuk kebajikan rakyat yang jauh lebih memerlukan," katanya lagi.

Seri Perdana di Putrajaya mula dibina pada tahun 1997 dengan kos RM24 juta dan siap dua tahun kemudiannya. Bangunan ini diubah suai buat kali pertama pada tahun 2005 yang menelan belanja hampir RM6 juta.

Sebelum ini beberapa wakil Pakatan Rakyat dalam perbahasan Bajet 2011 telah membangkitkan perkara ini antaranya Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan Liew Chin Tong, (DAP-Bukit Bendera).

Tuesday, November 9, 2010

Guna Samseng untuk halang YB melakukan kerjanya. ADUN Sekinchan diserang.

ADUN Sekinchan Ng Suee Lim berkata beliau tidak merancang untuk membuat sebarang kekecohan ataupun berdemonstrasi di Tanjong Karang pada Khamis lalu, tetapi hadir untuk bertemu sekumpulan petani di situ.

Katanya, petani berkenaan telah memanggilnya hadir untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Namun, beliau tetap dipukul oleh sekumpulan samseng apabila tiba di tempat berkenaan.

"Saya mahu nyatakan sebagai ADUN saya mendengar rintihan dan rungutan rakyat, adakah itu salah?," katanya ketika bercakap kepada wartawan ketika ditemui di bangunan annexe DUN Selangor hari ini,

Ng hari ini turut mengedarkan beberapa keping gambar yang dirakamkan ketika kejadian itu berlaku.

ADUN DAP itu turut mempersoalkan sama ada terdapat peruntukan dalam perlembagaan persekutuan mahupun negeri yang melarang wakil rakyat daripada mana-mana kawasan daripada memasuki kawasan yang tidak diwakilinya.

"Sebagai seorang ADUN, walaupun dari Sekinchan, saya wajib prihatin kepada semua kawasan di Selangor. Noh Omar kata saya telah masuk ke kawasan dia, jadi saya kena pukul.

"Ini adalah dunia tanpa sempadan, ADUN dan MP juga tidak ada sempadan. Sempadan yang ada hanyalah mentaliti kekampungan Noh Omar, menteri kampung yang bermentaliti kampung," katanya lagi.

Ng berkata demikian ketika mengulas kenyataan Noh sebelum ini yang menyatakan kepada Ng supaya tidak bersikap 'kurang ajar' dan supaya tidak memasuki kawasan orang lain.

Datuk Seri Noh Omar yang juga ahli parlimen Tanjung Karang juga telah menafikan bahawa anggota Umno telah menyerang ADUN Sekinchan itu seperti didakwa Ng.

Dalam pada itu, ketua whip PKR dalam DUN tersebut Azmin Ali mengutuk sekeras-kerasnya, tindakan samseng seperti itu.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Azmin juga berharap polis akan mengambil tindakan secara profesional dan tegas dalam isu tersebut.

Wednesday, November 3, 2010

Dakwaan Umno kafir: Lim saman Ali Rustam, Berita Harian

Ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang hari ini mengarahkan peguamnya mengemukakan saman terhadap laporan akhbar Berita Harian dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam berhubung dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan "Umno Kafir" dalam satu ceramah di dalam kempen pilihan raya kecil di sebuah ceramah di Sungai Terah, Gua Musang, semalam.

Malah kata Lim, beliau langsung tidak hadir pada cermah di Kampung Baru Hulu di kawasan Galas yang juga dihadiri oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim .

"Saya didakwa mengatakan Umno kafir dalam satu ceramah di Galas bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini merupakan fitnah dan pembohongan oleh kerana saya tidak bercakap seperti yang didakwa oleh beliau.

"Saya juga tidak pernah menghadiri ceramah di tanah rancangan Kesedar seperti yang didakwa dan ini merupakan perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab yang cuba untuk menyebarkan kebencian kaum dan agama," kata Lim pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Berita Harian dalam laporannya semalam membidas Lim dan DAP yang didakwa semakin berani mencampuri urusan agama Islam dengan menuduh orang Umno kafir.

Akhbar itu memetik Ali Rustam sebagai berkata tindakan DAP mengkafirkan Umno itu adalah hasil ajaran pemimpin PAS yang menjual agama dan tidak menghalang apabila bukan Islam menuduh orang Melayu tidak menyokong PAS sebagai kafir.

“Yang kita sedihnya apabila Lim menuduh orang Melayu parti UMNO kafir disambut dengan laungan takbir 'Allahuakhbar' oleh pemimpin PAS bersama penyokongnya yang dianggap menjual agama Islam kepada kaum lain.”

“Inikah parti yang melaungkan perjuangan Islam yang patut kita sokong dan sudah jauh terpesong akidah sebenarnya,” Ali Rustam dipetik oleh Berita Harian.

Malah lebih mendukacitakan kata Lim, Pemuda Putrajaya Umno membuat laporan polis ke atasnya berhubung laporan palsu itu.

Sehubungan itu, Lim berkata satu laporan polis juga akan dibuat oleh DAP Gua Musang terhadap kedua-dua pihak, hari ini.

Ketika ditanya mengenai saman yang akan dikemukakan itu, Lim berkata saman itu bagi menuntut pihak terbabit menarik balik dakwaan serta meminta maaf di atas kenyataan disifatkan sebagai pembohongan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang juga hadir pada sidang media ini menuntut Berita Harian menarik balik artikel berkenaan dan memohon maaf.

“Tiada pemimpin DAP yang kata Umno kafir. Kita bukan Islam macam mana nak tuduh orang lain kafir?” soalnya.

Ditanya sama ada parti itu akan menuntut bayaran ganti rugi atau pampasan daripada akhbar berkenaan, Guan Eng berkata perkara itu membabitkan maruah dan bukannya kerana wang.

Nik Aziz beri wang zakat tapi dituduh merasuah













Pengarah pilihan raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman hari ini menafikan laporan akhbar Utusan Malaysia yang mendakwa pemberian wang oleh menteri besar kepada sebilangan masyarakat Orang Asli yang diislamkannya sebenarnya adalah wang zakat dan bukannya sebagai rasuah seperti didakwa.

Katanya, beliau telah menyemak dengan setiausaha politik Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mendapatkan penjelasan sebenar berhubung isu itu.

"Saya diberitahu ia adalah wang zakat. Tok Guru mengislamkan tiga Orang Asli ini dan bagi wang zakat.

"Tak kan zakat ini rasuah?" katanya dalam sidang media di markas jentera PAS di Gua Musang hari ini.

Katanya lagi, Suruhanjata Pilihan Raya (SPR) perlu bersikap terbuka dalam isu tersebut.

"Jangan kalau Tok Guru ada beri duit sikit, dianggap rasuah, jangan rakyat tengok SPR ini memihak.

Ini zakat bukan rasuah. Utusan itu suka kelirukan orang, ini memang sikap mereka.

"Tapi saya rasa ia beri kelebihan kepada PAS, kerana bila orang baca mereka akan marah dan anggap ia bohong," katanya.

Tuesday, November 2, 2010

N45 Galas: Ahmad Sanggah Dakwaan Fail Tanah Orang Asli Hilang

Mstar online melaporkan.......

GUA MUSANG: Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak menghadapi masalah untuk menyelesaikan isu hak milik tanah khususnya membabitkan Orang Asli.

Sebaliknya, kata beliau, dakwaan ketiadaan fail atau dokumen berkaitan Orang Asli sehingga menyukarkan kerajaan negeri menyelesaikan isu berkenaan adalah tidak benar.

"Kita tak ada masalah seperti itu, tak timbul masalah yang mengatakan kita tak ada fail-fail yang berkaitan.

"Kerajaan negeri boleh dan sedang teruskan prosesnya (pemberian tanah), ia cuma ambil masa kerana perlu lalui proses tertentu," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke perkampungan masyarakat Orang Asli Kampung Sendrod, Lojing di sini, Isnin.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kota Baru, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjadi punca kepada masalah hak milik tanah yang membelenggu masyarakat Orang Asli.

Wan Abdul Rahim turut menegaskan Tengku Razaleigh 'menghilangkan' semua fail yang berkaitan dengan hal ehwal Orang Asli bersamanya selepas membubarkan Semangat 46 dan menyertai Umno pada 1996 hingga kerajaan PAS Kelantan gagal menangani isu-isu berkaitan kaum terbabit.

Dakwaan berkenaan juga merupakan serangan peribadi yang pertama daripada PAS terhadap Tengku Razaleigh walaupun terdapatnya arahan dan persetujuan supaya Ketua Umno Bahagian Gua Musang tidak 'disentuh' sepanjang kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, Ahmad berkata semua pihak perlu mengamalkan budaya politik yang lebih matang tanpa menyerang peribadi pihak lawan.

"Setiap parti boleh kemukakan dasar masing-masing, biar rakyat lihat dasar mana yang mereka mahukan, (serang) peribadi saya tak setuju.

"Kita perlu profesional dan matang dalam politik," katanya

Monday, November 1, 2010

Penagih Dadah lebih bernasib baik daripada graduan yang terpaksa berhutang setelah dapat ijazah.


Dengan kepesatan pembangunan dan kemodenan kini memerlukan banyak pembelanjaan dan juga pergorbanan daripada seorang pelajar yang sudah bergelar graduan yang baru lepas keluar universiti dan sedang menjenggok kepada dunia yang lebih mencabar namun sudah pun dibebani dengan hutang berpuluh ribu dengan kerajaan, semata-mata untuk mendapatkan sedikit pendidikan dan pengalaman untuk meneruskan kehidupan yang sebenar dibumi Malaysia ini.

Begitulah yang dapat dikeluhkan oleh pelajar yang kini menanggung hutang dan dikejar oleh kerajaan agar membayar balik pinjaman PTPTN. Berbeza sekali dengan universiti yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan apabila keluar daripada universiti ini ,pelajar ini tidak perlu membayar balik apa-apa pun kepada kerajaan. Ini lah universiti pusat pemulihan dadah , Lebih RM 70 seorang dibelanjakan kerajaan Malaysia kepada seorang penagih dadah dalam satu hari dan bayangkanlah apabila penagih ini keluar dari pusat tersebut setelah 2 tahun diberikan kehidupan percuma dan belum tentu mereka ini akan terus dapat berbakti pada negara dengan sijil daripada universiti tersebut dan kebarangkalian besar akan balik semula ke universiti tersebut untuk buat ijazah pula dan ini akan memerlukan lagi banyak pembelanjaan daripada kerajaan.

Sudah sampai masanya kerajaan membuat kajian semula setelah sudah lama ditanggung oleh siswa dengan bebanan ini. Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang adalah satu perniagaan kepada pelajar kita, dan menjadikan pelajar-pelajar kini sebagai anak tiri dan lebih menumpukan perhatian kepada penagih dadah dan juga mereka yang tidak sepatutnya dapat ganjaran sebegitu rupa. Pelajar adalah aset yang penting untuk negara yang boleh memberikan tenaga yang mahir untuk membangunkan negara dan untuk mendapatkan segulung ijazah memerlukan pelajar terpaksa menanggung pinjaman berpuluh ribu.

Pakatan Rakyat sedar akan perkara ini dan akan membantu pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ataupun yang sudah lama keluar universiti akan diberikan perhatian sepenuhnya dan akan menghapuskan terus perniagaan ini, Bermakna pelajar tidak perlu membayar apa-apa setelah mendapat segulung ijazah.

Najib diserang simptom awal demam campak


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipercayai mempunyai penyakit cacar dan telah dinasihatkan oleh doktor peribadinya supaya berehat di rumah. Menurut penasihat medianya, Datuk Seri Jalaludin Bahaudin, Najid juga diingatkan supaya mengelakkan dirinya daripada menghadiri semua majlis rasmi berikutan rawatan perubatan selepas terdapat simptom penyakit cacar. Katanya, presiden Umno itu mula merasa kurang sihat dan kemudian didapati ada ruam panas, sakit otot dan sendi pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-17 dan berkaitan di Hanoi, Vietnam selama tiga hari. "Setibanya di Subang (Selangor) hari ini, beliau menunjukkan ada tanda-tanda awal menghidapi penyakit cacar dan dengan segera mendapat rawatan. Oleh kerana ubat diberikan awal, Perdana Menteri menunjukkan respon yang baik," katanya sambil menambah doktor peribadi Najib menasihatkan Perdana Menteri berehat di kediaman dan mengelak daripada menghadiri semua majlis awam dan rasmi. "Perdana Menteri memohon maaf atas segala kesulitan," kata Jalaludin.

(Semoga Allah sembuhkan PM secepat mungkin agar dapat beliau menambahkan amal ibadah kepada Allah SWT. Amin...)

Friday, October 29, 2010

Kelantan janji wang tunai buat The Red Warriors


KUALA LUMPUR, 29 Okt: Tidak seperti musim lalu, kerajaan negeri Kelantan akan memberi imbuhan berupa wang tunai kepada pemain pasukan bola sepak The Red Warriors Kelantan yang berjaya ke final Piala Malaysia musim ini.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemberian wang tunai tersebut ekoran kerajaan negeri merasakan ianya lebih sesuai berbanding imbuhan menunaikan umrah yang diberikan musim lalu.

"Imbuhan ada, tahun lepas kita bawa ke tanah suci, tapi dapat dirasai oleh suami sahaja, isteri tak dapat rasa apa-apa.

"Jadi tahun ini kita ubah teknik sikit, kita bagi wang tunai supaya suami sebagai pemain dapat rasa, isteri sebagai penonton dapat rasa, anak-anak pun seronok," katanya kepada stesen radio HotFM semalam.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu berapa jumlah yang akan diberikan kepada setiap keluarga pemain tersebut.

Sabtu, 30 Oktober ini, Kelantan akan berdepan pasukan Negeri Sembilan, pada Piala Malaysia edisi ke-84 di Stadium Bukit Jalil.

Pertemuan ini adalah kali kedua berturut-turut selepas bertemu pada peringkat akhir musim lalu dengan kemenangan milik Negeri Sembilan 3-1.

Dalam pada itu, Nik Aziz turut mengingatkan penyokong Kelantan yang akan hadir ke stadium agar menjaga adab dan tatasusila dan tidak menimbulkan kekecohan.

"Saya nak tengok penyokong jaga tatsusila, jangan ada keganasan, semangat kesukanan kena jaga molek.

"Kita rakyat dan kerajaan negeri Kelantan duduk dalam keadaan tenang, berakhlak dan beradab," katanya penuh harapan.

Beliau bagaimanapun optimis Kelantan mampu membawa pulang Piala Malaysia ke negeri itu pada pertemuan Sabtu ini.

"Saya sebagai rakyat Kelantan berdoa agar kita berjaya..InsyaAllah kita harap kita berjaya," tambahnya.

Ditanya pengalamannya bermain bolasepak, beliau memberitahu meminati sukan itu sejak kecil.

Malah katanya lagi, bahagian lututnya kini masih terdapat kesan kececederaan akibat bermain bolasepak sebelum perang Jepun lagi.

"Saya muda dulu main bola sebelum perang Jepun, ketika itu saya duduk pondok.

"Lepas Asar main bola, kawan saya sepak, kena lutut kanan saya smpai hari ni cedera. Orang tak tahu tu.

Beliau turut memberitahu, selain bermain bola sepak, beliau juga aktif dalam sukan berkuda.

"Ayah saya ada empat ekor kuda, kami empat beradik berlumba kuda.

"Bila saya menang, saya lepas tangan atas kuda tu, tiba-tiba biawak melintas, kuda terkejut dan berhenti mengejut, jatuh la saya.

"Lutut saya rosak sebab bola, belakang saya rosak sebab kuda, jangan main-main," ceritanya.

Rakaman temubual bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Wednesday, October 27, 2010

Hub hiburan: NGO Islam ucap 'tahniah', tunggu p'raya


Seperti dijangkakan, tindakan kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan malam mula mendapat tentangan kumpulan NGO Islam. Bagi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), tindakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu 'disambut' mereka secara amat sinis.
"Tahniah kerana (kerajaan) berjaya menghancurkan rakyatnya," kata Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Ma'amor Osman (kiri) sambil menyifatkannya sebagai pengkhianatan kepada pentadbiran perdana menteri sebelum ini, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad. Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan kelmarin, pentadbiran Najib mahu menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan malam bagi memacu industri pelancongan. Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP. Lebih mengejutkan, EPP mencadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, termasuk Lembah Klang yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam menjelang 2014.
Ketika dihubungi Malaysiakini tengah hari ini, Dr Ma'amor - pemimpin NGO Islam yang dilihat agak 'rapat' dengan kerajaan - berkata, rancangan ETP itu menyalahi pelbagai perkara, termasuk gagasan Wawasan 2020 yang mahu negara ini maju dengan acuan sendiri. "Budaya kelab malam ini bukan budaya Timur. Ia budaya Barat, budaya berfoya-foya. "Saya ucap tahniahlah kerana berjaya mengkhianati negarawan negara (Dr Mahathir)," katanya. Ditanya berhubung tindakan susulan PPIM bagi menyatakan menangani rancangan itu, Ma'mor berkata: "Kita tak pergilah (ke kelab malam). Boikot pun tak guna. Tak ada ahli kita yang pergi ke kelab malam. Tunggu pilihan rayalah nanti." PPIM antara NGO pengguna Islam yang diingati kerana kempen boikot produk barangan tertentu seperti barangan keluaraan Yahudi dan Amerika Syarikat sebelum ini.

Hutang negara: Setiap rakyat tanggung RM14,000

KUALA LUMPUR, 26 Okt: PAS merasa kesal terhadap pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun.

Hutang kerajaan di dalam negara (domestic debt) pada tahun lalu adalah RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan.

“Ini bermakna setiap rakyat Malaysia seramai 26 juta menanggung hutang sebanyak RM14,000 setiap orang,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

PAS, katanya menganggap bahawa hutang yang meningkat dengan mendadak kerana ketirisan dan rasuah.

Menurutnya, pendedahan Ketua Setiausaha Negara, mengatakan bahawa negara kerugian akibat rasuah setiap tahun RM10 bilion.

Laporan Ketua Audit Negara 2009, ujarnya mendedahkan berlaku penyelewengan mengagihkan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada murid tidak layak kerana maklumat pendapatan mereka meragukan.

Malah, ada penerima didapati memiliki kemudahan tidak sepadan dengan kedudukan kewangan diisytiharkan seperti saluran televisyen berbayar Astro, lebih sebuah kenderaan dan ada penghawa dingin di rumah.

Begitu juga dengan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah disediakan sandwich tanpa sardin, tomato, timun dan salad.

Idris berkata, semuanya adalah contoh yang menunjukkan kegagalan kerajaan Umno BN yang akan digalas oleh rakyat Malaysia akibat kecuaian kerajaan pada hari ini menguruskan pentadbiran negara.

“Apakah ini merupakah sebuah kerajaan yang berkesan dalam mentadbir negara ini?” soalnya.

Tambahnya, pemimpin Umno di negara ini sering mendabik dada bahawa parti yang bijak memerintah ialah Umno dan BN, selain daripada BN maka tidak mampu untuk memerintah.

“Tidak hairanlah kepada kita apabila negeri yang diambil alih oleh PAS dan Pakatan Rakyat terpaksa memikul bebanan hutang yang perlu dilangsaikan.

“Kerajaan baru perlu melunaskan hutang kerana kita ambil alih kerajaan, bukan ambil alih parti,” ujarnya.

Beliau menambah, pengalaman PAS di Kelantan terpaksa memikul hutang kerajaan BN sebanyak RM740 juta selama 12 tahun mereka memerintah Kelantan, begitu juga hutang kerajaan Kedah sebanyak RM2.3 bilion selama 51 tahun Umno BN memerintah.

Katanya, kebijaksanaan pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang menguruskan kewangan dan cuba berusaha membayar balik hutang amat dikagumi oleh pegawai kerajaan Pusat.

“Apakah rakyat mahu membiarkan keadaan ini terus berlaku dan anak cucu kita yang akan menanggung derita pada masa akan datang?” tanya beliau.

Menurutnya, pemimpin Umno BN hanya pandai berbelanja dengan boros dan tidak serius untuk menentang rasuah dan membetulkan kepincangan.

Mereka, katanya lagi akan mengorek lombong-lombong yang masih ada, seperti Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP), Petronas, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji dan sebagainya.

“PAS menyeru rakyat supaya cukuplah memberi mandat kepada Umno BN yang mengkhianat rakyat dan masa depan anak cucu kita,” katanya.