Stop Lynas

Stop Lynas

IKLAN PINJAMAN

IKLAN PINJAMAN

Followers

Monday, September 26, 2011

Jamuan Hari Raya Anak Kebangsaan di Panching Selatan, Paya Besar.



25.9.2011.: Paya Besar.

           Jamuan Hari Raya ANAK Peringkat Kebangsaan yang telah dilangsungkan di Panching Selatan Kuantan anjuran ANAK kawasan Paya Besar. Majlis yang dihadiri oleh pemimpin ANAK iaitu Presidennya Sdr Mazlan Aliman dan juga Timbalannya Ustaz Aris Faizul. Orang ramai yang hadir seawal pukul 8.00 pagi untuk tujuan pendaftaran kehadiran agar melayakkan mereka untuk menerima hadiah cabutan bertuah. Hampir semua yang hadir adalah peneroka Felda yang berdekatan dan juga ahli jawatan kuasa Pas kawasan Paya besar dan juga pimpinan daripada Pakatan Rakyat serta ketua Himpunan Kelab Penyokong Pas.
              Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YDP kawasan Paya Besar Ustaz Yusof Embong dan beliau mempersoalkan kewujudan ANAK sebelum BAPAK lahir. Beliau juga mengharapkan kemenangan kepada peneroka Felda yang sekarang ini sedang berusaha untuk menyaman Felda. YDP juga mengucapapkan terimakasih kepada ajk kawasan yang bertukus lumus untuk menjayakan program ini dan tidak lupa juga kepada yang menyumbangkan 2 ekor lembu untuk menjadi santapan majlis tersebut.
               Majlis diteruskan dengan Dialog bersama dengan sdr Mazlan Aliman, beliau memulakan dengan ucapan ringkas dan selepas itu beliau membuka kepada para peneroka Felda untuk mengajukan pertanyaan. Banyak pertanyaan berkisar tentang penipuan Felda terhadap mereka. Peneroka yang hadir begitu bersemangat untuk mengetahui bagaimana proses yang mereka perlu ambil untuk menyaman felda. Sepatutnya majlis dialog berakhir pukul 10.00 pagi tetapi dengan semangat yang ditunjukkan oleh peneroka, maka sdr Mazlan Aliman terpaksa melanjutkan masa sehingga pukul 11.30 pagi untuk menerima segala persoalan dan menjawapnya dengan penuh teliti agar difahami oleh masyarakat peneroka.
               Jamuan dimulakan pada pukul 11.00 pagi dan orang ramai dijamukan dengan kuih muih tradisional melayu seperti ketupat pulut, tapai pulut dan juga kuih muih moden. Nasi dan juga lauk gulai lembu menjadi tumpuan. Majlis diteruskan dengan cabutan bertuah yang dibuat setiap 20 minit dan juga ucapan-ucapan daripada pemimpin yang hadir dan Shukri (Cucu mat kilau) blogger Pahang daily online tidak melepaskan peluang untuk memberikan ucapan dan menceritakan pengalamannya kepada hadirin. Jamuan dan Majlis berakhir pukul 3.00 petang.

Friday, September 23, 2011

Simpanan tunai Selangor RM1.1b, rekod 28 tahun


SHAH ALAM, 23 Sept: Dalam tempoh enam bulan tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor berupaya menambah simpanan tunai sebanyak RM200 juta, menjadikannya RM1,100 juta.
“Jumlah ini merupakan rekod kewangan paling baik negeri bertuah ini dalam tempoh 28 tahun,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau menyatakan demikian pada Majlis Santapan Malam anjuran Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.
Selain Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurutnya, pada akhir tahun lepas, simpanan tunai Kerajaan Negeri Selangor berjumlah sebanyak RM918 juta.
Secara keseluruhan, katanya, kejayaan Selangor memperkasa pembangunan dan melestarikan kemajuannya adalah dengan restu, nasihat dan sokongan penuh Tuanku Sultan terhadap kerajaan negeri sekarang yang mengamalkan tadbir urus yang telus, bertanggungjawab, berhemah dan berhemat.
Katanya, Negeri Selangor juga telah menunjukkan peningkatan yang begitu ketara di dalam jumlah pelaburan dalam negeri.
Jelasnya, semenjak 2008 hingga Jun 2011, Selangor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah lebih RM35,000 juta.
Ini bermakna, ujarnya Kerajaan Negeri Selangor sekarang bukan sahaja berjaya meningkatkan hasil negeri tetapi juga berjaya melaksanakan pengurusan kewangan dengan cekap dan berkesan.
“Walhal pada awalnya adalah menjadi kekhuatiran yang teramat sangat dalam diri patik selaku peneraju Kerajaan Negeri yang baharu untuk memikul amanah majoriti rakyat majmuk di negeri Selangor yang inginkan pembaharuan dalam erti kata hasil mahsul negeri dinikmati secara adil dan saksama dalam kalangan rakyat majmuk di negeri ini,” ujarnya.
Beliau menambah, demi kemaslahatan negeri dan rakyat negeri ini seluruhnya pula, Kerajaan Selangor sekarang melaksanakan dasar “Merakyatkan Ekonomi Selangor” yang mengandungi pelbagai program kebajikan bagi membantu rakyat majmuk pelbagai peringkat agar dapat sama-sama menikmati hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini.
Menurutnya, melalui dasar itu, beliauk dan barisan kepemimpinan di peringkat negeri, daerah, mukim dan kampung bersependapat bahawa hasil bumi negeri Selangor ini adalah milik rakyat Sultan Selangor.
Oleh itu, katanya limpahan daripada hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini sewajarnya dikembalikan kepada seluruh rakyat negeri Selangor supaya sama-sama menikmatinya.
Katanya, dengan penduduk negeri berjumlah 5.3 juta orang yang terdiri daripada Melayu sekitar 49 peratus; Cina sekitar 29 peratus, India sekitar 16 peratus, dan keturunan lain sekitar 6 peratus, mereka tanpa mengira kelainan bahasa, agama, latar belakang pendidikan dan kecondongan politik, adalah layak menerima bantuan menurut program dan skim yang ditawarkan oleh kerajaan negeri sejak Jun 2008, sejajar dengan misi menjadikan Selangor sebuah negeri idaman, maju dan berkebajikan.
Beliau berkata, sejak dasar itu diperkenalkan 100 hari selepas menerajui pentadbiran Negeri Selangor hinggalah Jun 2011; sejumlah RM500 juta telah disalurkan terus kepada rakyat Selangor.
Selain itu, katanya Skim Air Percuma 20 meter padu berjumlah melebihi RM387 juta, Skim Tabung Warisan (RM1.8 juta), Hadiah Anak Masuk Universiti (RM19 juta), Skim Usia Emas dan OKU (RM49 juta) dan Skim Mikro Kredit Luar Bandar dan Kemiskinan Bandar yang kini melebihi RM2 juta dan berbagai-bagai bantuan kemasyarakatan yang akan diberikan secara berterusan.
Dalam bidang pelaburan pula, beliau bersyukur kerana negeri Selangor terus didatangi oleh para pelabur dari dalam dan dari luar negara.
Katanya, sejak Januari hingga 30 Jun tahun 2011 ini sahaja jumlah pelaburan negeri Selangor bernilai sebanyak RM5,200 juta iaitu 18 peratus dari keseluruhan pelaburan di dalam negara.
Beliau menambah, pelaburan tersebut terdiri dari pelaburan domestik sejumlah RM2,100 juta dan pelaburan asing berjumlah RM3,100 juta.
“Ini bermakna Selangor berada di tempat teratas dalam keseluruhan pelaburan di dalam negara,” katanya.
Menurutnya, dari jumlah RM5,200 juta pelaburan tersebut terdapat sebanyak 135 projek yang terdiri dari 89 projek baharu dan selebihnya 46 projek sedia ada.
“Hal ini menjadikan Selangor jauh meninggalkan negeri-negeri lain yang kebanyakannya mempunyai tidak lebih dari 50 projek,” katanya lagi.
Jelasnya, melalui pelaburan RM5,200 juta di atas Selangor telah berjaya membuka ruang pekerjaan sebanyak 10,000 pekerjaan yang kebanyakannya di dalam bidang elektronik dan elektrikal produk.
“Selangor berbangga menjadi penyumbang terbesar cukai dalam negara iaitu sebanyak 21 peratus pada 2010 dan kita menjangkakan jumlah yang sama dapat kita unjurkan pada tahun ini jika tidak jumlah yang lebih besar,” katanya.
Rakyat Selangor juga, kata beliau menikmati hasil dari pengurusan hasil pasir yang kini dijalankan secara tersusun kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri; Kumpulan Semesta Sdn Bhd di mana peningkatan hasil pasir amat ketara sekali.
Katanya, pada tahun 2007, kutipan royalti hasil pasir hanya RM4 juta, 2009 sejumlah RM 5 juta dan pada 2010 melonjak kepada RM11 juta.
Menurutnya lagi, manakala pada tahun ini setakat bulan Jun telah mencapai kepada RM12 juta.
“Sejak ditubuhkan hingga setakat Jun 2011, Kumpulan Semesta telah berjaya mengumpul keuntungan berjumlah hampir RM50 juta,” katanya

Friday, September 9, 2011

Apa pula status penulis buku Pengukir Nama Johor?

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 8 Sept: Jika benar apa yang dikatakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman bahawa Mat Indera adalah komunis, apakah kedudukan penulis dan buku yang dinaungi beliau yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membangkit perkara itu ekoran tindakan Ghani menafikan taraf Mat Indera yang diherokan oleh buku itu sebelum ini namun apabila bertembung dengan sikap Umno yang mengkomuniskan Mat Indera, ia berubah.
(Mohamad Sabu menunjukkan buku Yayasan Warisan Johor yang nyatakan Mat Indera adalah hero...kini MB Johor bertukar arah mengatakan Mat Indera Komunis pula)

Bahkan, kerana Mat Indera turut dibela timbalan presiden PAS Haji Mohamad Sabu, beliau kini menjadi sasaran bahkan ada cadangan agar digugurkan kerakyatannya.
Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Datuk Onn.

Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Datuk Abdul Ghani Othman.

Soal Tuan Ibrahim, sekiranya perlu Mohamad digugurkan kerakyatan kerana menganggap Mat Indera sebagai seorang hero, bagaimana pula dengan penulis dan pakar sejarah yang menerbitkan buku Pengukir Nama Johor, terbitan Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang juga mengangkat Mat Indera sebagai hero?

“Bagaimana pula dengan kerakyatan Abdul Ghani apabila beliau tetiba bercanggah dengan buku yang dinaungkannya sebagai 'bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik' pada 2004 dengan menggelar Mat Indera sebagai pengganas untuk meneruskan hujah Umno yang semakin menikam Umno sendiri?” soal beliau lagi.

Walaupun menjadi penaung kepada buku Pengukir Nama Johor, Abdul Ghani semalam menidakkan tulisan buku tersebut dengan berkata Ahmad Indera atau Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.

Di sebalik kenyataan tersebut, Abdul Ghani secara ironisnya turut dipetik Bernama sebagai berkata penulisan dan catatan tersebut dalam buku tersebut boleh “menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.”

Desakan menggugurkan kerakyatan, kata Tuan Ibrahim juga sebenarnya menggambarkan betapa rakusnya kerajaan pemerintah dalam mengekalkan kuasa sehinggakan soal perundangan boleh diabaikan.

“Kalau diikutkan kehendak Umno, rakyat langsung tak boleh bersuara menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan – asalkan bercanggah dan menyebabkan kerajaan pemerintah tidak gembira, anda boleh disaran untuk dibuang kerakyatan. Sedangkan pada waktu yang sama, kerajaan pula beri warga asing kerakyatan walaupun mereka langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negara.

"Inilah contoh terbaik untuk mengunkapkan kata-kata P.Ramli fening, fening,” bidas beliau.

Berbangga dengan penjajah


Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim berkata, menghalau penjajah lebih mudah berbanding membuang pemikiran penjajah – itulah ungkapan untuk menggambarkan walaupun negara telah merdeka 54 tahun, namun pemikiran penjajah masih kukuh dan utuh dalam pemikiran sesetengah golongan.

Bahkan, kata beliau, ada yang masih berbangga dengan apa yang ditinggalkan penjajah.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata perkara yang paling menyayatkan hati pada zaman ini ialah kebutaan golongan yang masih dikongkong mentaliti penjajah dalam membakulkan golongan yang ikhlas berjuang menghalau penjajah kini sebagai komunis.

Manakala golongan yang sanggup bersekongkol dengan penjajah dan taat menerima segala arahan penjajah sehingga membidas, mencedera dan malah ada yang sanggup membunuh orang sendiri yang melawan penjajah didewa-dewakan oleh golongan ini sebagai hero, katanya dengan kesal.

Seluruh fakta sejarah yang bersama Inggeris dikekalkan, bahkan, kata beliau nama-nama parti politik masih menggunakan bahasa penjajah seperti Umno, MIC, MCA – semua adalah singkatan bahasa Inggeris.

“(Mereka) masih bangga mendabik dada dan berulang-ulang menyebut “Kamilah pejuang bangsa, Kamilah pembela tanahair” sehingga bertukar menjadi “Kami sahajalah pejuang bangsa, Kami sahajalah pembela tanahair” sehingga mengabaikan dan menggugurkan jasa para pejuang lain yang tidak diiktiraf pihak Inggeris dalam sejarah,” bidas beliau.

Tegas Tuan Ibrahim, dalam bab menjaga Islam, rekod kerajaan Barisan Nasional adalah lagi menyedihkan.

Selepas 54 tahun negara merdeka, kata beliau, nama Islam bukan sahaja tidak bertambah harum, malah kian dilihat sebagai agama yang menghalalkan rasuah dalam pentadbiran, penyalahgunaan kuasa demi kekal berkuasa, rakyat didahulukan untuk disembelihkan apabila ekonomi negara disalahtadbir dan perundangan Islam hanya berlegar soal peribadi dan kekeluargaan.

“Bukan itu sahaja, malah majoriti institusi-institusi agama turut dikongkong untuk mengembangkan ajaran Islam dengan pelbagai enakmen yang direka bukan sahaja menyusahkan dan pada masa yang sama menyebabkan agama Islam ditertawakan,” selar beliau lagi.

Disebabkan masih dibelenggu mentaliti penjajah, kata Tuan Ibrahim sehingga sekarang isu-isu utama seperti soal perpaduan kaum, soal agama dan dasar pendidikan nasional dan soal memartabatkan bahasa kebangsaan masih tidak mempunyai penyelesaian.

Malah katanya, setiap kali menjelang pilihanraya umum, isu agama dan kaum akan digunakan sebagai senjata sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah untuk dijaja kepada kaum masing-masing bagi meraih undi.

“Inilah nasib bilamana negara dipimpin oleh mereka yang pemikiran masih dibelenggu oleh elemen penjajah,” kata beliau.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyelar kewujudan budaya baru seperti gesaan untuk melucutkan kerakyatan dan memperbanyakkan laporan polis dan saranan seseorang agar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana bercanggah pendapat dengan pihak pemerintah.

“Segalanya dibuat seolah-olahlah merekalah undang-undang, dan merekalah pendakwa dan merekalah jugalah hakim,” terang beliau.

Mengenai isu terbaru di mana timbul desakan menggugurkan kerakyatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semata-mata kerana beliau mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan, Tuan Ibrahim menyoal mengapa saranan yang sama tidak kedengaran kepada mereka yang terlibat dalam konspirasi memberikan kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya, yang terang-bederang khianat kepada negara selepas 54 tahun merdeka.

“Ini bukan ke satu lagi mentaliti penjajah – di mana mereka sanggup mengelirukan orang Tanah Melayu sendiri untuk melawan orang Tanah Melayu sendiri, tapi masa yang sama menjual negara ke tangan warga asing untuk mengundi mereka supaya boleh kekal berkuasa? Penjajah turut melakukan perkara yang sama, orang Tanah Melayu diambil sebagai pegawai, polis dan juga askar untuk melawan orang Tanah Melayu yang menentang penjajahan mereka supaya mereka boleh kekal berkuasa,” terang beliau.